UMNO tiada halangan Anwar bertanding di Perak

Saarani (tengah) meninjau sebuah rumah yang terjejas akibat ribut ketika lawatannya ke sekitar daerah Manjung pada Ahad.
Saarani (tengah) meninjau sebuah rumah yang terjejas akibat ribut ketika lawatannya ke sekitar daerah Manjung pada Ahad.
A
A
A

MANJUNG - UMNO mengalu-alukan sesiapa sahaja nama besar termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Perak.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana tokoh untuk bertanding di mana-mana kerusi di negeri ini.

Menurutnya, maklumat awal mengenai kehadiran pemimpin utama PKR itu juga amat membantu parti itu dalam membuat persediaan.

"Malaysia ini sebuah negara demokrasi, di mana pun orang nak bertanding tak jadi masalah. Tak ada halangan di Perak dan kami tak boleh halang siapa-siapa nak bertanding pun.

"Tapi baguslah beritahu awal supaya kami boleh buat persiapan awal. Politik ini sangat dinamik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan terjejas ribut di daerah Manjung di Dewan Amanjaya Fasa 3A, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bahawa Anwar dipelawa bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dipelawa bertanding di Perak

Saarani sebelum itu melakukan lawatan ke beberapa rumah terjejas akibat kejadian ribut di sekitar daerah Manjung.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada lawatan itu, Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Hatta Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.

Mengulas mengenai bantuan bencana, Saarani berkata, kerajaan negeri telah meluluskan RM100,000 untuk diagihkan kepada mangsa terlibat.

Menurutnya, bencana yang berlaku pada 22 September lalu itu telah menyebabkan 88 premis terjejas dan mengalami kerosakan.

"Kita cuba berlaku adil kepada semua, yang mana terlibat teruk kita bayar lebih mengikut kos yang telah dibuat pihak kontraktor. Jadi kerajaan negeri telahpun bersetuju untuk meluluskan RM100,000 bagi kerja-kerja membaik pulih. Itu tidak termasuk perbelanjaan baik pulih melalui Yayasan Bina Upaya melibatkan kerja-kerja membaik pulih kerosakan kecil yang dilakukan dalam kadar segera.

"Bantuan itu adalah tanda simpati kita kepada mangsa terlibat dan kita harap mangsa bencana itu tidak terlalu bersedih," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, bagi kawasan lain yang dilanda ribut, pihak Pejabat Daerah dan Tanah boleh menggunakan peruntukan Tabung Bencana Daerah sedia ada bagi membantu mereka yang terjejas.