Kementerian berusaha tangani STI secara holistik

Jangkitan Penyakit Kelamin - Gambar hiasan
Jangkitan Penyakit Kelamin - Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak berusaha untuk menangani masalah jangkitan Penyakit Kelamin (STI) dalam kalangan wanita secara holistik.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif ini berikutan jumlah golongan wanita yang dijangkiti STI semakin meningkat dan membimbangkan.

“Ada kes yang dilaporkan di mana suri rumah dijangkiti STI daripada suaminya sendiri, jadi adalah penting untuk kita memberikan kesedaran serta pendidikan pencegahan kepada ramai tentang perkara tersebut.

“Memberikan ilmu tentang pencegahan STI bukanlah suatu perkara mudah kerana ia amat sensitif dan memalukan. Bagi sesetengah wanita, mereka malu untuk berkongsi dengan doktor tentang apa yang mereka alami terutamanya yang melibatkan alat sulit,” katanya kepada pemberita selepas majlis penangguhan Program Self-Genius Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak di sini, hari ini.

Mengikut statistik Majlis Pembangunan Sosial tahun lepas, 60 peratus kes jangkitan gonorea melibatkan mereka yang berusia antara 20 dan 29 tahun di mana 18 peratus yang dijangkiti adalah golongan wanita berbanding 11 peratus pada 2011.

Seramai 345 orang peserta daripada pelbagai agensi, kakitangan kerajaan, ibu bapa dan Badan Bukan Kerajaan menyertai program Self–Genius, yang merupakan seminar kesihatan intelektual dan emosional.

Seminar sehari itu antara lain bertujuan mengawal dan memimpin diri untuk mengelakkan daripada melakukan perkara negatif di samping membina keazaman diri, kepercayaan diri dan harga diri dengan menggunakan teknik serta resepi yang jitu dan padu. - Bernama

Artikel Berkaitan: