Iltizam PDP bantu graduan dapat pekerjaan

Selain mengikuti modul latihan, program Iltizam PDP turut diimbangi dengan aktiviti bersukan sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.
Selain mengikuti modul latihan, program Iltizam PDP turut diimbangi dengan aktiviti bersukan sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.
A
A
A

SYARIKAT Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melalui unit tanggungjawab sosial korporatnya, Iltizam membantu graduan bumiputera yang kurang berkemampuan mendapatkan peluang pekerjaan menerusi Iltizam Professional Development Programme (PDP).

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, sebanyak 85 peratus daripada graduan yang menyertai Iltizam PDP berjaya mendapat pekerjaan tetap setelah tamat menjalani program tersebut.

Menurutnya, program itu juga bertujuan membina kepercayaan dan keyakinan diri para graduan serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan.

“Graduan yang menganggur biasanya kurang keyakinan diri dan murung kerana tekanan daripada keluarga serta orang sekeliling.

“Program ini bermatlamat untuk membantu mereka membina semula keyakinan itu sekali gus sebagai batu loncatan untuk membina karier yang lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Iltizam PDP telah menerima 1,500 permohonan daripada graduan dari seluruh negara yang ingin menyertai program itu sejak permohonan penyertaaan dibuka pada bulan Ogos lalu.

Mereka menyasarkan lebih banyak permohonan pada tahun ini kerana peluang untuk mendapatkan pekerjaan pada tahun lalu agak sukar.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, Iltizam PDP mengambil inisiatif melanjutkan tempoh permohonan hingga 30 September 2021.

“Kami berhasrat memberi peluang kepada graduan setelah mengambil kira kesukaran mereka mendapatkan pekerjaan ketika ini berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Program Iltizam PDP pada tahun ini merupakan peluang terbaik kepada graduan menganggur untuk menyertainya,” katanya.

Hizwani
Hizwani

Iltizam PDP turut memberi fokus kepada golongan yang lama menganggur dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan kemahiran dan pengalaman bekerja.

Menurutnya, banyak permohonan daripada graduan OKU diterima kerana kesukaran golongan itu mendapatkan pekerjaan berikutan ada syarikat meragui keupayaan mereka melakukan tugas.

Kerjasama luar

Iltizam PDP menyasarkan hanya 75 graduan dipilih menerusi saringan yang dilakukan secara dalam talian (online).

Peserta yang terpilih akan diberi gaji sebanyak RM2,500 sebulan dan kontrak kerja selama setahun, menerima pelbagai manfaat seperti faedah perubatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cuti tahunan.

Selain Ekuinas, graduan akan ditempatkan di 28 syarikat yang berkolabaratif dalam program Iltizam PDP.

“Jika mereka menunjukkan prestasi yang baik, kami akan pastikan syarikat tersebut mengambil mereka sebagai pekerja tetap.

“Kami juga membuka peluang kepada mana-mana syarikat yang ingin bekerjasama dengan kami menerusi program ini. Mereka akan mendapat graduan yang telah disaring, dilatih dan dibayar oleh kami,” jelasnya.

Menurut Hizwani, meskipun terdapat program latihan lain di pasaran, program Iltizam PDP mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Ini antara sebab hanya 75 peserta layak menyertainya. Bilangan tersebut paling optimum kerana kami memantau mereka secara ‘one-to sepanjang program dilaksanakan,” katanya lagi.

Graduan yang berminat boleh menghantar permohonan di pautan https://iltizam.ekuinas.com.my/pdp/ lebih awal kerana banyak persediaan perlu dilakukan termasuk dokumen lengkap dan esei yang mesti ditulis oleh pemohon untuk dinilai.

Amirul Amir
Amirul Amir

Sementara itu, Pengurus Keusahawanan Iltizam yang juga Penyelia Peserta Iltizam PDP, Amirul Amri Alwi berkata, peserta yang menyertai program itu perlu menyesuaikan diri dengan skop kerja berbanding apa yang dipelajari di universiti.

Namun katanya, walaupun kurang pendedahan kepada dunia pekerjaan, peserta mula menunjukkan peningkatan yang baik setelah melalui beberapa modul latihan yang diberikan.

“Kami turut memfokuskan kepada peningkatan kemahiran insaniah yang membantu peserta menyerlahkan bakat seiring dengan kemahiran teknikal yang sepadan dengan skop kerja mereka.

“Menerusi aspek teknikal, kebanyakan graduan mengambil bidang kerja yang berbeza daripada apa yang dipelajari semasa di universiti. Ia normal jika mereka tidak tahu dan kurang faham tetapi perlu mempelajari,” katanya.

Rebut peluang

Nur Imanina
Nur Imanina

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nur Imanina Abdul Aziz akui program itu membantunya meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri ketika berhadapan dengan orang ramai.

“Pada awalnya saya anggap Iltizam PDP sama seperti latihan industri semasa di universiti. Tapi selepas menyertainya, saya boleh berkomunikasi dengan baik kerana saya banyak dilatih untuk berjumpa dengan orang luar bagi membina keyakinan diri,” kata Eksekutif Keusahawan Ekuinas ini.

Nur Imanina turut menyeru para graduan agar menyertai program Iltizam PDP untuk keluar daripada zon selesa dan memperbaiki diri.

“Peluang telah terbuka di depan mata dan kita tidak tahu apa yang terbaik bakal kita nikmati selepas menyertai program ini,” katanya.