X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.
A
A

KEPUTUSAN pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil enam pemain baharu untuk menghadapi dua aksi persahabatan yang dijadualkan pada Oktober depan adalah satu tindakan tepat.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, ia menjadi pentas terbaik untuk memberikan pendedahan kepada pemain tersebut di peringkat antarabangsa sekali gus menyediakan mereka untuk menjadi pelapis kepada skuad kebangsaan.

Menurutnya, skuad Harimau Malaya tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain lama dan meminggirkan bakat baharu yang menyinar dalam saingan Liga Malaysia.

"Ketua jurulatih mempunyai hak mutlak untuk memilih pemain dan keputusan itu sudah tentu dibuat selepas dapat menilai perlawanan di Liga Super dan Liga Premier. Jadi beliau dah nampak ada pemain baharu yang menyerlah dan sepatutnyalah diberikan ruang dan peluang kepada pemain baharu ini untuk mewakili negara.

"Apa yang penting adalah dapat memberikan ruang kepada pemain baharu untuk menyarung jersi negara. Kalau kita tidak bagi pendedahan kepada pemain baharu, bila dia nak mendapatkan peluang membuktikan keupayaan di pentas antarabangsa.

"Selain itu, pemain-pemain baharu yang terpilih ini juga perlu membuktikan dan memberikan 100 peratus kepada pasukan untuk memastikan bahawa keputusan memanggil mereka adalah berbaloi," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Enam muka baharu yang dipanggil Cheng Hoe adalah penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Pengendali skuad negara itu hanya mengekalkan 12 pemain daripada perlawanan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE lalu dan turut mengekalkan khidmat penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula.

Skuad negara akan mengharungi dua aksi persahabatan menentang pasukan Jordan yang menghuni tangga ke-93 dunia pada 6 Oktober sebelum bertemu pasukan di ranking ke-84 dunia, Uzbekistan tiga hari kemudian.

Mengulas mengenai pemilihan de Paula, Jamal Nasir menegaskan Cheng Hoe mungkin mempunyai perancangan tersendiri selain pengalaman dimiliki penyerang itu mambu membantu pemain lain di atas padang.

"Mungkin ada strategi tertentu seperti untuk membimbing pemain di atas padang. Malah beberapa pemain senior lain juga amat diperlukan untuk mewujudkan keseimbangan dalam pasukan. Kita tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada pemain muda dan baharu.

"Lagipun, mungkin coach masih mahu menguji de Paula dan melihat kemampuan pemain itu untuk memberikan impak bersama pasukan kebangsaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!