Kedahcare mudahkan penduduk mohon bantuan

Halimaton Shaadiah Saad
Halimaton Shaadiah Saad
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri memperkenalkan aplikasi Kedahcare bagi memudahkan penduduk terkesan akibat pandemik Covid-19 memohon bantuan makanan dan keperluan asas.

Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad berkata, penduduk yang berdepan kesukaran boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk memohon melalui aplikasi itu.

Halimaton berkata, aplikasi ini dibina bagi memudahkan dan membolehkan penduduk yang memerlukan bantuan memaklumkan keperluan mereka secara dalam talian dengan kadar segera.

"Kita telah memperkenalkan aplikasi dalam talian dikenali sebagai Kedahcare untuk memudahkan penduduk memohon bantuan diperlukan masing-masing dan menyalurkan maklumat lanjut tentang keperluan mereka.

"Selain itu, kita telah menambah talian untuk panggilan telefon di PKOB bagi membolehkan penduduk mengemukakan aduan mereka," katanya ketika menjawab soalan tambahan Yeo Keng Chuan (PKR-Kulim) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 92,216 permohonan berkaitan bakul makanan diterima PKOB di 12 daerah seluruh Kedah sehingga 12 September.

"Kota Setar mencatatkan laporan tertinggi permohonan bakul makanan dengan 18,150 aduan, diikuti Kuala Muda (16,762), Sik (9,441), Langkawi (8,914), Yan (7,140) dan Pendang (6,969),"

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan bekalan kepada mereka yang benar-benar terkesan untuk semua permohonan diterima berkaitan aduan bakul makanan di PKOB daerah dan negeri," jelasnya

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah kerajaan negeri telah membelanjakan RM4.09 juta bagi menyediakan bakul makanan melalui PKOB bermula Julai hingga September 2021.

Menurutnya, bantuan itu disalurkan kepada penduduk memerlukan ataupun terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Setiap bakul makanan bernilai RM50 mengandungi pelbagai barangan keperluan termasuklah beras, minyak masak, gula, tepung gandum, biskut, teh, kopi, susu tin dan sardin," katanya.