Penumpang MPV dipandu lawan arus miliki syabu

Video sebuah MPV dikejar polis tular kerana memandu melawan arus di Sekinchan.
Video sebuah MPV dikejar polis tular kerana memandu melawan arus di Sekinchan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis menemui 19 paket dadah jenis syabu selepas menahan seorang penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu melawan arus di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pada petang Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, hasil ujian urin terhadap penumpang lelaki itu positif methamphetamine.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui dadah bernilai RM450 dalam beg sandang penumpang berusia 27 tahun berkenaan.

"Kami telah menahan lelaki terbabit dan menyerahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 A(1) ADB 1952," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Chee Khoon berkata, polis kini giat memburu pemandu kenderaan terbabit yang bertindak melompat keluar dari kenderaan dipandunya dalam keadaan masih bergerak hingga terbabas ke parit sebelah kiri jalan.

"Pemandu terbabit dapat melarikan diri dan polis sudah kenal pasti pemandu terbabit dan sedang berusaha mengesan lokasi suspek ketika ini," jelasnya.

Katanya, akibat kejadian itu, kenderaan terbabit mengalami beberapa kerosakan.

Mengulas kejadian itu, Chee Khoon memberitahu, kenderaan terbabit melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan memandu melawan arus sejauh dua kilometer kira-kira jam 6.30 petang.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis telah mengekori MPV tersebut sehingga sampai di Jalan Tali Air 6, tiba-tiba pemandu tersebut telah memandu melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan terus masuk ke Jalan Haji Miskan.

"Sebaik sampai di jalan tersebut pemandu telah

melompat keluar dari kenderaan, manakala penumpang berjaya dicekup," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.

Video berdurasi satu minit dua saat tular apabila sebuah MPV dikejar polis kerana dipandu melawan arus di Sekinchan.