X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Unit Kecemasan, Trauma & Kemalangan: Protokol hospital wajib dipatuhi waris, pesakit

Unit Kecemasan, Trauma & Kemalangan di setiap hospital menerima pesakit 24 jam sehari, 7 hari tanpa henti.
A
A

DUA hari lalu, Mohd Faiz Raden, 28, baru sahaja dikejarkan ke unit kecemasan di salah sebuah hospital berdekatan dengan rumahnya. Dia tiba-tiba diserang sesak nafas selepas bersenam.

Dalam keadaan dilema kerana tiada sebarang rekod masalah kesihatan, Mohd Faiz terpaksa akur ditolak masuk ke zon kuning.

Rupa-rupanya, doktor telah mendapati paru-paru Mohd Faiz telah bocor sehingga oksigen di dalam badannya turun mendadak.

"Alhamdulillah, tindakan hadir ke unit kecemasan dengan pantas sebenarnya telah menyelamatkan nyawa saya," ujarnya.

Kes Mohd Faiz merupakan salah satu bukti penerimaan pesakit secara tiba-tiba di unit kecemasan.

Pastinya dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih mengganas kini, Unit Kecemasan, Trauma & Kemalangan di hospital adalah lokasi penting dalam mendepani kemelut kesihatan pesakit.

Situasi itu turut diakui oleh Doktor Pakar Perunding Kecemasan, Hal Ehwal Perubatan dan Kualiti, IHH Healthcare, Dr Jeewadas Velummylum Baladas.

Berikut adalah penjelasan beliau kepada SinarPlus.

Dr Jeewadas
Dr Jeewadas

Bahagian kecemasan merupakan tempat pertama yang tersedia ketika menerima pesakit.

Sebenarnya, bahagian kecemasan boleh dikatakan sebagai lokaliti untuk rawatan awal sebelum pesakit dibawa ke bahagian lain seperti wad atau dewan bedah.

Jadi, tidak dapat disangkal lagi sememangnya bahagian kecemasan adalah keutamaan dalam membantu pesakit yang memerlukan.

Di rangkaian hospital Pantai, Unit Kecemasan, Trauma & Kemalangan mempunyai pecahan kepada tiga zon iaitu:

  1. Zon hijau (tidak kritikal)
  2. Zon kuning (separa kritikal)
  3. Zon merah (kritikal)

Jika diamati, hampir 5% pesakit yang hadir ke bahagian kecemasan Hospital Pantai, Kuala Lumpur perlu dirawat di zon merah manakala 40% daripada keseluruhan pesakit memerlukan rawatan di zon kuning.

Antara kes-kes kuning itu melibatkan individu dengan demam tinggi, kanak-kanak di bawah umur dua tahun yang memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut, ibu hamil, kemalangan dan pesakit patah tulang kaki.< /p>

PROTOKOL

Setiap zon di bahagian kecemasan mempunyai tempoh menunggu yang boleh diklasifikasikan kepada tiga iaitu:

  1. Zon hijau - Antara 30 - 60 minit pertama (Bergantung kategori G1, G2 dan G3)
  2. Zon kuning - 15 minit pertama
  3. Zon merah - Serta-merta

Pesakit akan dilihat dalam tempoh masa minimum bergantung kepada komplikasi kesihatan yang dialami oleh mereka.

Menyentuh tentang situasi pandemik kini, mana-mana pesakit dan waris perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

 Pesakit dan waris wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelak dijangkiti wabak Covid-19.
 Pesakit dan waris wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelak dijangkiti wabak Covid-19.

Mereka wajib memakai pelitup muka selain perlu melakukan deklarasi kesihatan seperti simptom yang dialami dan sejarah perjalanan ke lokasi merah (wabak) kepada petugas.

Seandainya informasi yang diberikan dikategorikan sebagai suspek kepada kes Covid-19, mereka akan dibawa ke tempat isolasi.

SOP ketat dan wajib patuh turut terpakai kepada semua petugas kesihatan merangkumi pemakaian peralatan pelindungan diri (PPE) yang lengkap dan betul.

JANGAN LUPA DOKUMEN!

Apabila seseorang perlu ke unit kecemasan, lazimnya waris akan berada dalam keadaan panik kerana bimbang keadaan kesihatan orang yang tersayang.

Sebagai doktor, saya faham emosi sebegitu memang tidak mampu dielak. Namun jangan sampai mengabaikan, terlupa atau tertinggal dokumen-dokumen penting pesakit.

Dokumen penting perlu dibawa bersama untuk kegunaan semasa pendaftaran di unit kecemasan.

Kad pengenalan diri pesakit adalah dokumen ‘wajib ada’ yang perlu dibawa penjaga atau pengiring pesakit ke hospital.

Jika pesakit pernah menerima apa-apa rawatan kesihatan, bukti seperti kad, surat atau preskripsi ubat-ubatan perlu dibawa bersama untuk rujukan doktor.

Seperkara lagi, sijil vaksin Covid-19 digalakkan ditunjukkan untuk memastikan kedua-duanya (waris dan pesakit) sudah lengkap divaksinasi atau sebaliknya.

Pastikan waris atau pengiring membawa semua dokumen pesakit agar kelancaran proses pendaftaran berjalan lancar.
Pastikan waris atau pengiring membawa semua dokumen pesakit agar kelancaran proses pendaftaran berjalan lancar.

Sebagai penjagaan dan langkah awal, saya suka mengingatkan orang ramai agar menyediakan kit pertolongan cemas di rumah masing-masing.

Beberapa alatan dan ubat perlu disimpan untuk kegunaan semasa atau ketika rawatan awal perlu diberikan kepada pesakit yang berada dalam situasi kecemasan.

Antara yang perlu disimpan - kapas, ubat antiseptik, plaster dan bandage (pembalut) termasuk kiub ais.

Peralatan dan ubat-ubatan ini boleh mengawal pesakit jika berlaku pendarahan yang banyak akibat kecederaan sebelum dibawa ke hospital.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!