BN tetap pertahan Cameron Highlands

Wan Rosdy merakam gambar bersama sebahagian peserta yang berkhatan Program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran KPJ Pahang Specialist Hospital di sini hari ini.
Wan Rosdy merakam gambar bersama sebahagian peserta yang berkhatan Program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran KPJ Pahang Specialist Hospital di sini hari ini.
A
A
A
KUANTAN - BN Pahang optimis dalam mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Cameron Highlands jika PRK diadakan di kawasan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata BN di negeri ini masih kukuh dan jentera parti mampu digerakkan secara berkesan bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas BN negeri dalam masa terdekat untuk membincangkan strategi dan persiapan yang perlu dilakukan untuk menghadapi PRK di kawasan itu kelak

"Saya tidak mahu buat andaian kerana keputusan mahkamah terhadap rayuan C Sivarraajh (Ahli Parlimen Cameron Highlands) belum dikemukakan.

"Kita yakin dan optimis untuk menang kerana kita menyandang kerusi di Parlimen Cameron Highlands,"

katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran KPJ Pahang Specialist Hospital di sini hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi berkenaan.

Pada PRU14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.
Artikel Berkaitan:


BN dilaporkan akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang berkata, jika RPK diadakan keadaannya pasti berbeza ekoran situasi politik semasa.

“Semasa PRU-14 dahulu kita lawan lima penjuru namun jika ada PRK kelak kita tak tahu berapa penjuru. Jadi kita tunggu dan lihat apabila tiba masanya," katanya.