Amaran Ketua Pengarah Imigresen kepada anggotanya makan suap

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen menegaskan pegawai dan anggotanya yang didapati bersalah di mahkamah akan berdepan tindakan buang kerja.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tindakan demikian dibuat mengikut Peraturan Tatatertib Perkhidmatan Awam.

“Jabatan (Imigresen) tidak berkompromi dalam isu-isu integriti dan disiplin.

“Semua pegawai yang didapati bersalah di mahkamah akan ditamatkan perkhidmatan mengikut Peraturan Tatatertib Perkhidmatan Awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar pada Isnin mengenai seorang pegawai Jabatan Imigresen didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku menerima wang berjumlah RM15,000 bagi membantu melepaskan beberapa warga China dan Filipina di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 tahun lalu.

Sementara itu, Khairul Dzaimee menegaskan, pegawai terbabit akan diambil tindakan setelah mendapat keputusan rasmi daripada pihak mahkamah.

“Selain itu, Jabatan Imigresen juga sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melalui pasukan petugas yang ditubuhkan,” katanya.

Artikel Berkaitan: