'Gandingan Dr Mahathir, Muhyiddin gagal'

IDRIS
IDRIS
A
A
A

MELAKA - Kekalahan calon Bersatu yang mewakili PH pada PRK DUN Semenyih menunjukkan Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal meraih sokongan pengundi di Semenyih.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada usaha untuk menolak Dr Mahathir dan Muhyiddin daripada mengemudi Bersatu kerana kekalahan wakil parti itu amat memalukan, apatah lagi Selangor ditadbir oleh PKR yang juga satu daripada empat parti komponen PH.

"Pada masa sama, ia menguatkan lagi desas-desus ketidakwibawaan kepimpinan Dr Mahathir dalam PH, malah keadaan itu boleh menjurus kepada usaha undi tidak percaya kepada beliau pada persidangan Dewan Rakyat kelak.

"Ini satu tamparan buat kedua-dua pemimpin berkenaan dan saya yakin jika situasi malang ini berterusan pada PRK akan datang, kemungkinan PH akan menjadi kerajaan satu penggal saja," katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan PRK DUN Semenyih.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Ketua Pembangkang di DUN Melaka berkata, kemenangan BN di Semenyih turut dipengaruhi faktor calon untuk meraih sokongan pengundi terhadap parti itu.

Menurutnya, pemilihan Zakaria Hanafi, 58, sebagai calon mewakili BN adalah sangat bertepatan dengan kehendak pengundi yang mahu wakil mereka bukan dalam kalangan pemegang jawatan utama dalam parti, sama ada di peringkat Pusat, negeri mahu pun bahagian.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu juga berkata, kaedah berkenaan dilihat sangat berkesan dan perlu dipraktikkan dalam pemilihan calon pada PRU15 kelak.

"Saya tidak nafikan kerja keras petugas BN bersama Pas serta beberapa pihak lain sehingga membawa kemenangan kepada Zakaria, namun perlu diingatkan, calon yang diketengahkan juga perlu memenuhi 'selera' pengundi yang pada ketika ini tidak mahu mereka yang memegang jawatan penting dalam UMNO sebaliknya cukup hanya sebagai ahli biasa.

Artikel Berkaitan:

"Mengambil contoh Ramli Mohd Nor (calon BN pada PRK Parlimen Cameron Highlands) yang bukan pemegang jawatan dalam parti sebaliknya hanya aktif sebagai aktivis masyarakat, mampu membawa kemenangan kepada BN dan situasi sama dilakukan UMNO pada PRK DUN Semenyih ini.

"Kemungkinan jika kita letakkan ketua, timbalan ketua atau naib ketua UMNO bahagian kita kalah, tapi kita letak pengerusi tetap cawangan saja (Zakaria) dan rakyat boleh terima dan memberi undi kepada kita," katanya.