Cari mekanisme permudahkan tuntutan IPG

Amiruddin (kiri) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa PIBG SK Alor Janggus.
Amiruddin (kiri) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa PIBG SK Alor Janggus.
A
A
A

ALOR SETAR - Proses tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan dipermudahkan bagi membolehkan lebih ramai penoreh menikmati manfaat itu apabila peratusan penoreh yang membuat tuntutan IPG masih rendah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, perbincangan akan dilakukan bersama Kementerian Industri Utama bagi mencari mekanisme terbaik supaya proses tuntutan dapat dipermudahkan.

“Antara kesukaran penoreh terpaksa berurusan di pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Sungai Petani, kita akan bincang untuk permudahkan.

"Kita boleh cadangkan supaya diadakan kaunter bergerak atau kaunter khas di setiap daerah agar penoreh dapat berurusan dengan mudah,” katanya.

Amiruddin berkata, peruntukan untuk tuntutan berkenaan sudah tersedia dan berharap tiada pihak yang menyukarkan prosedur sehingga menyebabkan penoreh enggan membuat tuntutan.

“Sebelum ini, harga getah yang murah antara faktor ramai penoreh tidak membuat tuntutan. Kita harap dengan kenaikan harga lantai getah skrap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram, pekebun atau penoreh berasa berbaloi untuk tuntut IPG,” katanya.

Pada November lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan harga lantai bagi komoditi itu dinaikkan sebanyak 30 sen kepada RM2.50 sekilogram, berbanding RM2.20 sekilogram bermula Januari lalu.

Pada Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi pelaksanaan IPG untuk membantu pekebun dan penoreh.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Amiruddin yang juga ADUN Anak Bukit merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Janggus.