Calon berkualiti asas kemenangan: Mujahid

 Mujahid (belakang, kanan) bergambar kenangan dengan atlet cilik SJKT St Mary, Parit Buntar pada hari sukan sekolah itu hari ini.
Mujahid (belakang, kanan) bergambar kenangan dengan atlet cilik SJKT St Mary, Parit Buntar pada hari sukan sekolah itu hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - PH perlu menjadikan faktor peletakan calon berkualiti dan disukai rakyat sebagai asas utama penentuan kemenangan mereka pada PRK DUN Rantau kelak.

Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, di sebalik trend pengundian pilihan raya di negara ini masih mengekalkan faktor pemilihan berasaskan kepartian sebanyak 60 peratus dan suasana politik semasa 20 peratus, faktor calon sebenarnya memainkan peranan penting sebanyak 20 peratus.

Menurutnya, dewasa ini trend peletakan calon berkualiti sangat penting dan semakin membesar sehingga pada satu tahap ianya mampu mempengaruhi 50 peratus faktor kemenangan parti dalam pilihan raya berbanding faktor kepartian sendiri.

"Saya tidak mengatakan punca kekalahan PH pada PRK Semenyih semalam disebabkan kelemahan calon dipilih semata-mata.

"Sebaliknya pelbagai faktor lain perlu diambil kira seperti beberapa kelemahan kerajaan PH dan eksploitasi parti pembangkang terhadap isu cukup rapuh seperti agama dan perkauman.

"Cuma saya berharap pada PRK DUN Rantau kelak, PH akan lebih mengambil serius faktor pemilihan calon bagi mengukuhkan lagi peluang merampas kerusi itu dari tangan BN," katanya kepada media sewaktu merasmikan hari sukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) St Mary di sini hari ini.

Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) berkata, PH juga wajar mengambil iktibar daripada kekalahan kedua berturut-turut pakatan itu dalam dua PRK dan melihat secara lebih mendalam bagi mengetahui segenap kelemahan kerajaan PH untuk diperbaiki segera.

Menurutnya, pihaknya tidak fikir rakyat DUN Semenyih mengundi calon UMNO kerana menyokong parti yang gagal memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat dalam konteks moral, tetapi sebagai memprotes kelemahan kerajaan PH.

Artikel Berkaitan:

"Kelemahan PH mungkin menjurus kepada isu kerajaan masih baharu, perlaksanaan dasar baharu belum mantap serta kaedah sistem penyampaian inisiatif dan penerangan usaha kerajaan baharu belum baik.

"Jadi semua pihak perlu bangkit segera untuk memperbaiki segala kelemahan itu secepat mungkin atau episod kekalahan hatrik PH dalam PRK seterusnya akan berulang," katanya.

Mujahid turut mempersoalkan keberkesanan faktor kerjasama antara Pas dan UMNO dalam membantu memastikan agenda Malaysia Baharu diperjuangkan kerajaan PH benar-benar dapat dilaksanakan.

Menurutnya, dengan pendekatan menyerang kerajaan PH menggunakan isu rapuh seperti agama dan kaum bagi memberi persepsi negatif dalam kalangan rakyat, keputusan PRK Semenyih membuktikan pengaruhnya cukup besar dan impak terkesan terus kepada pengundi.

"Bagaimanapun, saya yakin peluang PH untuk memenangi PRK DUN Rantau masih tinggi sekiranya kita menangani segera segala kelemahan kerajaan PH di samping faktor peletakan calon terbaik," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih, selepas memperoleh 19,780 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).