Kerjasama UMNO-Pas membuahkan hasil: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto Izari Rosli
Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto Izari Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama antara UMNO dan Pas dilihat membuahkan hasil apabila BN berjaya merampas kembali kerusi DUN Semenyih daripada PH dalam PRK DUN Semenyih, semalam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sepanjang 14 hari tempoh berkempen, Pas komited dan membantu secara sungguh-sungguh.

“Saya menyaksikan sepanjang 14 hari, Pas membantu dengan penuh gigih bergerak dari rumah ke rumah, pasar ke pasar bertemu pengundi, ceramah bersama bahkan paling manis dapat berbuka puasa Isnin dan Khamis serta bermunajat bersama.

“Semoga PRK DUN Semenyih menjadi saksi permuafakatan jitu antara dua parti terbesar mewakili Melayu-Islam yang dipaterikan atas dasar kasih sayang kerana ALLAH SWT, perjuangan memartabatkan Islam dan kesatuan Ummah. Ya ALLAH Engkau Berkatilah dan Rahmatilah kerjasama dan kesatuan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau mewakili barisan kepimpinan Pemuda UMNO mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan Pas khususnya Dewan Pemuda Pas yang bekerja sepenuh jiwa dan raga membantu jentera Pemuda BN dan UMNO di PRK DUN Semenyih.

Dalam PRK DUN Semenyih, calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 manakala calon PH, Muhammad Aiman Zainali mendapat 17, 866 undi.

Dua lagi calon, Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas) masing-masing menerima 847 dan 725 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan tiga lawannya.

Artikel Berkaitan: