Kemenangan BN tanda keikhlasan kerjasama UMNO-Pas

Dr Noraini Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad menyifatkan kemenangan BN di PRK DUN Semenyih sebagai keikhlasan kerjasama UMNO dan Pas.

Menurutnya, kerjasama berkenaan ternyata mendapat sokongan besar majoriti umat Islam.

“Terima kasih kepada seluruh jentera parti BN khususnya jentera Wanita UMNO dan Dewan Muslimat Pas yang telah bekerja keras menentukan kemenangan BN.

“Selain itu, Wanita UMNO juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengundi DUN Semenyih kerana telah memberikan kepercayaan kepada BN,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata bahawa kemenangan BN boleh dianggap sebagai referendum protes rakyat kepada kerajaan di bawah pimpinan PH kerana gagal menunaikan janji-janji yang dibuat.

“Semoga kemenangan berkenaan menyuntik semangat jentera parti untuk terus berusaha dan bekerja keras di PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan nanti,” katanya.

Semalam, BN berjaya merampas kembali kerusi DUN Semenyih daripada PH selepas calon BN, Zakaria Hanafi menang majoriti 1,914 undi menewaskan tiga lawannya.

Zakaria memperoleh 19,780 manakala calon PH, Muhammad Aiman Zainali mendapat 17,866 undi.