Penternak rugi, 10 kambing mati kandang terbakar

Kebakaran yang menyebabkan 10 ekor kambing milik Saravanan mati. - Foto ihsan bomba
Kebakaran yang menyebabkan 10 ekor kambing milik Saravanan mati. - Foto ihsan bomba
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Seorang penternak kambing berputih mata selepas 10 ekor ternakannya mati dalam kebakaran di sebuah kandang di Jalan Temerloh Jaya Indah 1 dekat Kampung Tualang di sini awal pagi Sabtu.

Penternak kambing, K Saravanan, 38, berkata, dia hanya menyedari kejadian yang berlaku jam 5 pagi itu selepas terdengar jeritan ibunya.

Menurutnya, ketika itu dia yang sedang tidur segera bangun dan bergegas ke kandang kambing yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya.

"Keluar sahaja dari rumah, saya lihat api sedang marak. Saya segera buka kandang dan bawa kambing keluar tetapi ada yang terperangkap dalam kandang.

Keadaan kandang kambing milik Saravanan yang musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu.
Keadaan kandang kambing milik Saravanan yang musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu.

"Saya hanya berjaya menyelamatkan 15 ekor kambing dan 10 ekor lagi mati dalam kebakaran.

"Nasib baik hanya satu kandang yang terbakar manakala sebuah kandang lagi terselamat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Saravanan berkata, rasa terkilan dan sedih mengenangkan 10 ekor kambing yang mati itu kebanyakannya baru lahir beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jalailuddin Abdul Mubin berkata, enam anggota dan seorang pegawai bersama sebuah jentera pemadam terbabit dalam operasi tersebut.

Katanya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit memadamkan kebakaran itu yang membabitkan kadar kemusnahan 90 peratus.