Dua pelajar UiTM Jengka maut kemalangan

Lokasi kejadian yang menyebabkan dua penuntut UiTm meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 22 Jalan Temerloh-Bandar Jengka berhampiran Sungai Nerek, tengah hari, semalam. (Gambar kecil: Norzamri)
Lokasi kejadian yang menyebabkan dua penuntut UiTm meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 22 Jalan Temerloh-Bandar Jengka berhampiran Sungai Nerek, tengah hari, semalam. (Gambar kecil: Norzamri)
A
A
A

MARAN - Dua penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, di sini maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung sebuah kereta di Kilometer 22, Jalan Temerloh-Bandar Jengka berhampiran Sungai Nerek, tengah hari, semalam.

Mangsa, Siti Najiha Azahar, 21, beralamat di Taman Idaman, Kluang, Johor, maut akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Manakala, rakannya yang membonceng motosikal berkenaan, Aina Mardhiah Razmi, 21, berasal dari Selangor pula maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

Ketua Polis Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah UiTM Jengka menghala ke Temerloh.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain.

“Akibatnya, motosikal itu bertembung kereta yang dipandu Mohd Sabre Abdul Rahim, 51, dari arah bertentangan.

“Pertembungan itu menyebabkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hoshas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, Norzamri berkata, Mohd Sabre yang tinggal di Felda Melati Jengka 11 di sini tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat serpihan komponen di laluan kereta itu.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.