Sazaliza dilantik COO baharu KWSP

Sazaliza
Sazaliza
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan baharu pengurusan kanannya dengan pelantikan Sazaliza Zainuddin sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) berkuat kuasa mulai 1 September lalu

KWSP menerusi satu kenyataan pada Jumaat berkata, Sazaliza menggantikan Datuk Mohd Naim Daruwish yang telah bersara.

Katanya, Sazaliza pernah berkhidmat di PricewaterhouseCoopers dari tahun 1997 hingga 2006 sebelum memulakan kerjaya bersama KWSP pada 2006 sebagai Ketua Akaun di Jabatan Kewangan.

"Di KWSP, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Kewangan, Ketua Pengurusan Perolehan dan Ketua Audit Dalaman, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 2017.

"Sebagai Ketua Pegawai Operasi yang baharu, beliau akan menyelia portfolio perkhidmatan operasi dan fungsi sokongan, dengan penekanan khusus terhadap pengurusan prestasi, penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan juga keperluan kontrak," katanya.

Dengan perubahan portfolio Sazaliza, jawatan Ketua Pegawai Kewangan KWSP diisi Mohamad Hafiz Kassim bermula 1 Ogos 2021 sekali gus menyaksikan beliau dinaikkan pangkat.

KWSP menjelaskan, Mohamad Hafiz akan bertanggungjawab memastikan operasi Bahagian Kewangan dan Perkhidmatan berjalan dengan cekap dan berkesan.

Menurutnya, Mohamad Hafiz yang merupakan seorang akauntan sebelum ini telah berkhidmat dengan PricewaterhouseCoopers dan Daiwa Capital sebelum menyertai KWSP pada 2008.

Artikel Berkaitan:

"Di KWSP, beliau pernah mengetuai Jabatan Pelaburan Hartanah, Jabatan Pasaran Modal, dan Jabatan Ekuiti Persendirian," katanya.

Jelasnya, susulan pelantikan baharu itu, Sazaliza dan Mohamad Hafiz kini menyertai pengurusan kanan KWSP lain yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Pegawai Pelaburan, Rohaya Mohammad Yusof; Ketua Pegawai Strategi, Nurhisham Hussein dan Ketua Pegawai Teknologi Digital, Muhammad Afhzal Abdul Rahman.

Sementara itu, KWSP memberitahu, Mohd Naim yang bersara sebelum ini telah berkhidmat bersama KWSP selama hampir tiga dekad dan berperanan penting dalam memperkukuhkan operasi KWSP, termasuk ketika tempoh sekatan pergerakan berikutan pandemik Covid-19.

"Mohd Naim mula berkhidmat dengan KWSP pada 1992 sebagai Pengurus di Bahagian Pendakwaan/Litigasi dan telah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Penguatkuasaan, Ketua Perundangan, dan Ketua Caruman sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi pada 2014.

"Kerjayanya bermula pada 1985 sebagai majistret dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan," katanya.