Laporan transformasi Parlimen akan dihantar ke kabinet

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Laporan mengenai transformasi Parlimen akan diserahkan kepada kabinet tidak lama lagi untuk disahkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementeriannya juga akan dibentuk untuk memastikan pelbagai cadangan yang dibincangkan mengenai perkara itu dapat dilaksanakan segera sebagaimana telah dipersetujui dalam perbincangan selama 90 minit bersama Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, pada Khamis.

“Dengan sukacita saya maklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menerima cadangan itu secara positif dan sebenarnya, bersedia memainkan peranan utama dalam mentransformasi Parlimen kita," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tiga perkara utama yang dibincangkan adalah untuk menghidupkan atau memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen, cadangan untuk mewujudkan akta baharu Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988) dan perbincangan mengenai lebih banyak pindaan terhadap Peraturan-peraturan dan Peritah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedia ada. -

Beliau berkata, langkah untuk menghidupkan kembali atau memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bertujuan memberi kebebasan kepada Parlimen dan ia selaras dengan apa yang dilakukan oleh Parlimen lain di peringkat antarabangsa.

Ini berdasarkan Artikel 62 (prosedur Parlimen) dan Artikel 63 (Hak Istimewa Parlimen) di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kata Wan Junaidi.

Mengenai cadangan untuk mewujudkan akta baharu Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988) beliau berkata bahawa akta yang ada ketika ini seharusnya diganti.

"Akta ini digubal pada 1952, dalam suasana Parlimen 1952. Malah ia bukan persekitaran sebenar Parlimen, kerana ia diwujudkan semasa Tanah Melayu berada di bawah Perjanjian Persekutuan 1948. Akta yang sedia ada sudah benar-benar lapuk dan ketinggalan zaman serta tidak lagi sesuai untuk landskap politik pada abad ke-21,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau berkata adalah lebih baik untuk menggubal akta Parlimen baharu yang lebih komprehensif, inklusif dan lengkap berbanding membuat pindaan terhadap akta sedia ada.

"Ia juga selari dengan tindakan kebanyakan negara Komanwel seperti Australia, Kanada, New Zealand dan India," katanya.

Menjelas lanjut mengenai perbincangan pindaan Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedia ada, Wan Junaidi berkata langkah itu amat penting agar selari dengan penggubalan undang-undang baharu yang dicadangkan dan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

"Walaupun pindaan dibuat dari semasa ke semasa, namun banyak peraturan ini hanyalah peninggalan daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, yang kemudian dipinda pada 1956 untuk kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

"Akta ini kemudiannya dipinda pada 1959 untuk membentuk dasar bagi Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, banyak peraturan ini tidak lagi sesuai dalam banyak perkara moden di Parlimen,” kata Wan Junaidi.

Beliau berkata banyak negara Komanwel telah membuat pindaan yang diperlukan terhadap peraturan dan prosedur di Parlimen negara mereka agar bersesuaian dengan situasi sekarang.

"Dalam usaha kita untuk mentransfomasikan Parlimen, adalah penting untuk kita melakukan lebih banyak perubahan dan penambahbaikan satu set peraturan yang mungkin tidak lagi sesuai dalam senario hari ini.

“Pindaan yang dibuat juga harus memberi fokus terhadap upaya memperkasakan Jawatankuasa Parlimen,” tambahnya. - Bernama