Malaysian Tigers tagih sentuhan Taekema

Subahan Kamal
Subahan Kamal
A
A
A

MALAYSIAN Tigers akan mendapat 'sentuhan ajaib’ daripada pakar pukulan sudut penalti tersohor dunia, Taeke Taekema, pada kem motivasi skuad negara di Kuantan, bermula 10 Mac ini.

Skuad negara, di bawah bimbingan Roelant Oltmans, berpeluang mempelajari teknik melakukan penyudahan yang tepat depan gawang gol lawan daripada pemain Belanda itu semasa kem motivasi selama enam hari itu.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata pemain berusia 29 tahun itu akan berkongsi idea dan kemahirannya dengan 28 pemain skuad negara semasa kem tersebut bagi menghadapi Kejohanan Siri Final FIH di sini dari 26 April hingga 4 Mei ini.

Beliau berkata kelemahan dalam melakukan penyudahan pukulan sudut penalti yang dihadapi oleh skuad negara telah mendorong pihaknya bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjemput Taekema ke kem motivasi tersebut.

“Dalam corak perlawanan hari ini, pukulan sudut penalti menyumbang kepada kemenangan sesuatu pasukan.

“Oleh itu kemahiran sekurang-kurangnya lima pakar pukulan sudut yang ada dalam pasukan perlu dipertajamkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MHC kali ke-13 di di sini hari ini.

Sebagai rekod, Taekema diiktiraf sebagai pakar pukulan sudut penalti paling digeruni di dunia dengan menjaringkan 221 gol daripada 242 kali mewakili skuad kebangsaan Belanda sejak 2000 hingga 2011.

Pemain pertahanan itu juga muncul sebagai penjaring terbanyak dengan lapan gol pada Piala Dunia 2010 di New Delhi dan sebelum itu meraih gelaran sama pada Kejohanan Negara-Negara Eropah 2007 dengan 16 gol serta membantu Belanda memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Athens 2004.

Artikel Berkaitan:

Subahan berkata beliau mahu Oltmans, yang dilantik empat bulan lalu, meningkatkan prestasi anak buahnya dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia perlu muncul antara dua pasukan terbaik dalam Siri Final FIH 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini untuk layak ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November ini.

Dalam pada itu, Subahan meletakkan sasaran final untuk dicapai oleh skuad negara pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 di Ipoh dari 23 hingga 30 Mac ini.

"Walaupun Oltmans tidak meletakan sasaran tinggi tetapi pasukan negara yang turun sebagai pasukan tiga terbaik di kejohanan itu perlu memberikan pencapaian yang bagus sekurang-kurangnya layak ke final," katanya.

Selain tuan rumah Malaysia, Piala Sultan Azlan Shah tahun ini turut disertai oleh India, Kanada, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Jepun. - Bernama