Kerajaan teliti langkah tingkat hasil cukai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti langkah bagi meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil.

Menurut Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa, antara cadangan dalam penelitian termasuk pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Melalui program ini, pembayar cukai digalakkan tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa-apa cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM, jelasnya.

Langkah lain ialah memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai satu prasyarat baharu yang perlu dipatuhi oleh penender semasa mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan selain mengkaji semula layanan cukai yang dikenal pasti mempunyai elemen ketirisan hasil atau amalan yang menjejaskan serta melaksanakan nombor pengenalan cukai (TIN).

“Kerajaan sedar bahawa persekitaran pelaburan yang kondusif sama ada bagi pelaburan langsung asing atau pelaburan langsung domestik merangkumi banyak aspek, termasuk kestabilan ekonomi dan politik, dasar yang konsisten dan telus, pasaran buruh yang efisien, tahap kemudahan infrastruktur, tadbir urus yang mantap, rangka perundangan yang kukuh dan kualiti hidup yang selesa di Malaysia.

“Insentif fiskal termasuk cukai merupakan antara faktor penarik pelaburan berkenaan, namun ia boleh memainkan peranan penting sebagai alat dasar yang strategik,” menurut MOF.

Mengenai pengurusan ketirisan hasil, kerajaan komited menangani isu ketirisan hasil terutama yang melibatkan aktiviti penyeludupan barangan berduti tinggi yang dianggar berjumlah RM5 bilion.

Pasukan Kerja Pelbagai Agensi yang dipengerusikan oleh MOF sebagai sebuah platform bagi merangka strategi membendung aktiviti penyeludupan telah diperkasakan melalui penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga telah melaksanakan langkah memperketat kawalan ke atas pelesenan dan pengimportan rokok dan produk tembakau dengan membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui pengenaan kuota import, mengehadkan aktiviti pemindahan rokok ke kapal di pelabuhan tertentu sahaja di samping menjadikan rokok dan produk tembakau sebagai barangan berduti di semua pulau bebas cukai.

Menurut MOF, selain itu, kerajaan telah memperkemas definisi syarikat berkaitan bagi tujuan tuntutan bantuan kumpulan, mengenakan penalti ke atas kegagalan menyediakan dokumen Pindahan Harga dan menetapkan keperluan pembayar cukai bagi menjelaskan cukai sebelum memulakan apa-apa prosiding terhadap kerajaan/ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri. - Bernama