8 November keputusan lucut hak barang keluarga Najib, 13 pihak lain

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menetapkan 8 November depan untuk keputusan kes lucut hak barangan berharga milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, keluarga dan 13 pihak lain yang dikaitkan dengan 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menetapkan 8 November depan untuk keputusan kes lucut hak barangan berharga milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, keluarga dan 13 pihak lain yang dikaitkan dengan 1MDB.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menetapkan 8 November depan untuk keputusan kes lucut hak barangan berharga milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka serta 13 pihak lain yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas kesemua pihak bersetuju supaya mahkamah menetapkan tarikh dengan mengambil kira hujahan bertulis yang dihantar sebelum ini.

Mohamed Zaini berkata, ia memerlukan masa untuk menyediakan penghakiman bertulis.

“Saya perlukan dua bulan dan keputusan ditetapkan 8 November depan,” katanya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berkata, prosiding pada Isnin diteruskan dengan mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan kes.

Ini kerana katanya, semua pihak bersetuju bahawa mereka mengguna pakai hujahan bertulis tanpa perlu hujahan lisan.

Pada 8 Mei 2019, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis pelucuthakan berhubung beratus-ratus item termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan yang dirampas daripada Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta tiga anak pasangan itu, 13 individu dan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd serta Hong Leong Bank Bhd turut dibekukan antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho atau Jho Low), bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng dan isterinya, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Permohonan itu antara lain difailkan atas alasan bahawa pendakwaan yang bertindak mengikut Seksyen 56(1) dibaca bersama dengan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, berpuas hati bahawa kesemua item yang dirampas antara 17 Mei 2018 dan 11 Mac 2019 adalah mempunyai perkaitan dengan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atau sebagai hasil aktiviti haram yang membabitkan responden.