Konvoi Merdeka mesti dapat kebenaran pihak berkuasa

Mohd Taip (berdiri, kanan) bersama Khairul Ridzuan (kiri) ketika Program Merdeka@Komuniti Bersama Pengamal Media di Perkarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, pada Isnin.
Mohd Taip (berdiri, kanan) bersama Khairul Ridzuan (kiri) ketika Program Merdeka@Komuniti Bersama Pengamal Media di Perkarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak memberi amaran kepada semua pihak supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengadakan sebarang aktiviti konvoi sempena kemerdekaan.

Pengarahnya, Khairul Ridzuan Mat Said berkata, kebenaran perlu diperoleh daripada MKN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan sebarang aktiviti yang dilaksanakan itu mematuhi protokol keselamatan ditetapkan.

Kata beliau, sebarang aktiviti yang dilakukan tanpa kebenaran akan jadi satu kesalahan memandangkan negara masih berdepan bencana pandemik Covid-19.

"Apabila nak buat satu majlis, pastikan majlis itu dalam keadaan terkawal iaitu mesti ada melibatkan pihak polis dan MKN. Kawalan itu penting kerana konvoi mesti kena dapat kebenaran daripada pihak berwajib supaya diketahui pergerakan tersebut.

"Pesan saya dalam Bulan Kemerdekaan supaya lebih berhati-hati dengan mengambil inisiatif sendiri untuk pastikan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan sanitasi," katanya kepada pemberita sempena Program Merdeka@Komuniti Bersama Pengamal Media di Pekarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya menerima beberapa permohonan terutama melibatkan jabatan kerajaan dan kelulusan diberikan mengikut keperluan.

Khairul Ridzuan berkata, tidak semua permohonan diluluskan memandangkan penularan Covid-19 di Perak masih tinggi selain situasi semasa kadar vaksinasi.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan untuk menyekat program-program bersifat kenegaraan tetapi ia dilaksanakan bagi memastikan komuniti selamat dalam tempoh pandemik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Mohd Taip Ubah berkata, penganjuran program bersama pengamal media bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan warga media di Perak.

Katanya, peranan media amat besar membantu menyebarkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan kepada rakyat menerusi media cetak mahupun media elektronik.

Menurutnya, tanpa bantuan warga media, program-program sempena Hari Kebangsaan tidak dapat disebarluaskan ke seluruh pelosok tanah air.