'Pemain saya tidak berdisiplin'

Antara aksi menarik pertemuan Kelantan United menentang Projek FAM-MSN di Kota Bharu. - Foto Kelantan United
Antara aksi menarik pertemuan Kelantan United menentang Projek FAM-MSN di Kota Bharu. - Foto Kelantan United
A
A
A

"PEMAIN saya tidak berdisiplin," demikian luahan Ketua Jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor selepas pasukannya ‘dimalukan’ Skuad Projek FAM-MSN pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad, Kota Bharu pada Ahad.

Jurulatih kelahiran Selangor itu berkata, beliau kecewa dengan sikap pemainnya yang tidak mengikuti sepenuhnya arahan yang diberikan sepanjang perlawanan itu berlangsung, sehingga tewas kepada pemain-pemain muda Skuad Projek FAM-MSN.

“Saya terkejut dengan kekalahan hari ini. Pemain kami tidak berdisiplin terutamanya ketika bertahan, mereka bermain terlalu memandang rendah pasukan lawan dan saya sudah cakap sebelum perlawanan jangan pandang rendah dengan lawan, sebab mereka bermain 95 minit bukan 90 minit, jadi ini akibatnya kami terpaksa kecewa.

“Tahniah kepada pasukan lawan yang berjaya membawa pulang tiga mata penuh, selepas menunjukkan disiplin yang baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, Kelantan United turun sebagai tuan rumah tewas 0-1 kepada pasukan Skuad Projek FAM-MSN, yang dibarisi oleh pemain-pemain 'budak sekolah’ dengan gol kemenangan pasukan pelawat itu, dijaringkan Azhad Harraz Arman pada minit ke-77.

Nazrulerwan berkata, baki dua perlawanan selepas ini, pihaknya akan melakukan rombakan kerana ada pemain terpaksa diketepikan atas beberapa faktor.

Sementara itu Ketua Jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah berkata, kemenangan itu amat bermakna untuk dijadikan motivasi kepada pemain-pemainnya, yang rata-rata berusia bawah 20 tahun.

"Tiga mata ini memberikan sedikit 'sinar' kepada kami untuk meneruskan baki perlawanan liga musim ini. Sebelum datang ke Kota Bharu saya tegaskan kepada pemain supaya tidak takut kepada pasukan lawan yang jauh lebih berpengalaman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata walaupun berjaya menewaskan Kelantan United, namun masih banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh pemainnya, untuk menghadapi perlawanan selepas ini.

“Kami tidak begitu bagus hari ini (Ahad), cuma kami mengambil peluang hadir dalam keadaan amat diperlukan untuk menjaringkan gol, dan pada aksi pusingan kedua liga, saya melihat ada banyak peningkatan daripada pemain-pemain saya,” katanya. - Bernama