Pengarah syarikat rugi ditipu dapat gelaran datuk, tanah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian RM406,400 kerana ditipu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri Utama dan sebidang tanah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada individu terbabit yang mendakwa dia telah ditipu dalam urusan bagi mendapatkan gelaran tersebut.

"Pada 28 Mac lalu, mangsa mendakwa menerima panggilan dan dimaklumkan bahawa Istana Negara akan mengurniakan gelaran Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah berkeluasan 2.2 hektar.

"Pada hari yang sama juga, mangsa telah menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadi kepada seorang individu di sebuah restoran berhampiran pintu 2 Istana Negara," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mahidisham berkata, mangsa juga telah diminta untuk melakukan beberapa pembayaran selepas itu.

"Pada 6 April 2021, mangsa telah diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun yang telah diberikan oleh suspek sebelum membuat empat lagi transaksi bayaran berjumlah RM247,000 ke satu akaun lain antara 30 April sehingga 17 Jun 2021.

"Selain itu, mangsa juga telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 kepada suspek. Bagaimanapun selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu dan membuat semakan ke atas akaun yang diberikan oleh suspek," katanya.

Menurutnya, mangsa mendapati akaun tersebut adalah di atas nama syarikat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa merasakan dirinya ditipu dan terus membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.