Internet menyeluruh di perkampungan orang asli

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 261 perkampungan orang asli di negeri ini akan mendapat perkhidmatan internet jalur lebar yang lebih baik dan setanding kawasan bandar tidak lama lagi.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia selepas projek pembinaan menara baharu serta naik taraf menara sedia ada daripada 2G atau 3G kepada 4G dilaksanakan.

Beliau berkata, projek berkenaan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) menerusi usaha kerajaan negeri Pahang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kita menjangkakan pelaksanaan projek ini akan bermula dalam masa terdekat dan siap sepenuhnya secara berperingkat pada pertengahan tahun hadapan.

"Pelaksanaan internet jalur lebar di perkampungan orang asli dilakukan menerusi dua kaedah iaitu menggunakan jalur lebar satelit dan pembinaan menara-menara baharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mohammad Fakhruddin menjelaskan, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat penyelarasan dan penambah baikan sistem telekomunikasi serta internet perkampungan orang asli di negeri ini pada Sabtu.

Beliau berkata, mesyuarat itu bagi memastikan perkara yang dirancangkan berjalan seperti dijadualkan.

"Sehingga kini sebanyak 116 perkampungan orang asli di negeri ini mendapat perhatian melalui pelbagai projek yang telah dan akan dilaksanakan SKMM di bawah Pelan Jendela.

Artikel Berkaitan:

" Ini membuktikan kerajaan negeri Pahang serius dan berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan pencapaian internet di seluruh negeri Pahang termasuk di perkampungan orang asli," katanya.

Sementara itu, masyarakat orang asli dari Kampung Permatang Siput di Pekan, Noranidun Midun, 28, berkata, penduduk gembira apabila dimaklumkan terdapat pembinaan satu menara telekomunikasi di kampungnya.

“Apabila siap menara itu nanti, akan lebih memudahkan penduduk untuk melakukan urusan harian termasuk membeli barang atau belajar secara dalam talian, selain masalah komunikasi dapat diatasi,” ujarnya.