Pesakit Covid-19 perlu lebih 12 bulan untuk pulih sepenuhnya

Bekas pesakit memerlukan masa lebih 12 tahun untuk pulih sepenuhnya daripada Covid-19. - Foto AFP
Bekas pesakit memerlukan masa lebih 12 tahun untuk pulih sepenuhnya daripada Covid-19. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Simptom keletihan dan kesukaran bernafas mungkin akan dihidapi oleh ramai bekas pesakit Covid-19 sehingga setahun selepas mereka dirawat di hospital, menurut satu kajian penyelidikan terbaharu China.

Kira-kira separuh pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital selepas bebas daripada pandemik itu didapati mempunyai sekurang-kurangnya simptom seperti kerap letih dan lemah otot walaupun selepas berbulan-bulan mereka sembuh daripada Covid-19.

Menurut AFP, maklumat itu terkandung dalam satu kajian yang disiarkan oleh jurnal perubatan Britain, The Lancet pada Jumaat.

Penyelidikan tersebut mendapati seorang bagi setiap tiga bekas pesakit Covid-19 itu didapati mengalami kesukaran bernafas selepas 12 bulan mereka dirawat akibat dijangkiti pandemik tersebut.

Menurut ruangan editorial jurnal itu, kajian tersebut menunjukkan tempoh lebih satu tahun diperlukan untuk pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Kajian berkenaan melibatkan 1,300 orang yang dirawat di hospital kerana pandemik itu antara Januari hingga Mei 2020 di bandar raya Wuhan.

Bandar raya itu merupakan lokasi pertama di dunia yang menerima kesan akibat Covid-19 sebelum ia menjangkiti lebih 213 juta penduduk dunia dan membunuh lebih empat juta manusia. - Agensi

Artikel Berkaitan: