X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Pembangkang gelar kabinet Ismail Sabri ‘kabinet gagal 2.0’

FAHMI, HANNAH YEOH, SYED SADDIQ
A
A

SHAH ALAM – Pembangkang menyifatkan anggota kabinet yang dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama seperti lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menggelarkan kabinet yang diketuai oleh Ismail Sabri sebagai ‘kabinet gagal 2.0’.

“Inilah sebab utama kenapa UMNO kononnya ingin menumbangkan kerajaan gagal sebelum ini. Tapi, apabila UMNO ada kuasa melantik kabinet baharu, benda sama juga yang dibuat,” katanya menerusi Instagramnya pada Jumaat.

Tambahnya, Perdana Menteri telah membazirkan peluang untuk melantik individu yang bagus dalam pemilihan kabinetnya.

Beliau pada masa sama menamakan individu-individu terbabit antaranya Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan lain-lain.

“Mengapa lantik lagi menteri yang jelas tidak mempunyai prestasi yang baik? Mengapa pemimpin yang ada rekod buruk masih lagi jadi sebahagian dari kerajaan ini?

“Jadi, kerajaan gagal sebelum ini hanya mengambil cuti lebih kurang dua minggu sebelum kembali bertugas,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Zafrul, Azmin kekal, Khairy dilantik Menteri Kesihatan

Turut senada dengan Syed Saddiq adalah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menyifatkan pelantikan kabinet baharu Ismail Sabri adalah berdasarkan komposisi lama daripada #kerajaangagal yang sama.

“Ahli politik sama yang bertukar pejabat di Putrajaya. Kabinet Ismail Sabri tidak lebih daripada mengambil inspirasi daripada kabinet Muhyiddin.

“Sekarang, saya mahukan Ismail Sabri menjadikan Azalina sebagai Speaker (Dewan Rakyat) untuk semak dan imbang,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Menurut Hannah, apa yang difikirkannya mengenai kabinet ‘baharu’ ini adalah kanak-kanak tidak mempunyai jurucakap yang boleh dipercayai dan bagaimana individu seperti Azalina boleh dikecualikan.

Bagaimanapun, beliau menarik nafas lega apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak lagi menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

“(Ahli Parlimen Santubong) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pastinya pilihan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut dilihat tidak berpuas hati apabila Kementerian Wilayah Persekutuan yang sebelum ini diketuai ahlli Parlimen dari Kelantan kini bertukar kepada Ahli Parlimen dari Perlis.

“Kuala Lumpur perlukan suara Kuala Lumpur,” tegasnya.

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin turut melahirkan kekecewaannya dengan pengumuman kabinet baharu Ismail Sabri.

“Bagus untuk mengitar semula kabinet di rumah tetapi tidak bagus untuk mengitar semula kabinet negara yang telah gagal,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula menerusi Twitternya turut mengkritik apabila nama Azalina tiada dalam senarai kabinet yang diumumkan pada Jumaat.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sependapat dengan Hannah bahawa sekiranya Azalina dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat, ia akan memberi kelebihan kepada Parlimen.

“Saya yakin dia akan menjadi penyokong kuat pembaharuan yang besar,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!