Guru agama didakwa pukul pelajar OKU guna penyapu

Mohamad Haslam (kiri) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat kerana mencederakan pelajar OKU.
Mohamad Haslam (kiri) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat kerana mencederakan pelajar OKU.
A
A
A

MELAKA - Seorang guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan mencederakan pelajarnya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Haslam Abdul Salam, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebabkan cedera pada belakang badan, kedua-dua tangan dan kaki mangsa yang berusia 21 tahun dengan sebatang penyapu di Taman Gadong, jam 7 pagi pada 22 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan sebat atau dengan denda atau dua daripada mana-mana seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Sangari menawarkan jaminan RM8,000 dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh pula memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai guru agama di madrasah dan perlu menanggung tiga anak.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 27 September depan.

Artikel Berkaitan: