Pengusaha bas, van, pekerja kilang dikompaun RM203,500

Tindakan kompaun itu dibuat dalam operasi yang dijalankan JPJ bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sekitar Pulau Pinang bermula 25 Julai hingga semalam (Khamis).- Foto Bernama
Tindakan kompaun itu dibuat dalam operasi yang dijalankan JPJ bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sekitar Pulau Pinang bermula 25 Julai hingga semalam (Khamis).- Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebanyak 47 kompaun membabitkan nilai RM203,500 dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas pengusaha dan pemandu bas, van kilang serta pekerja kilang yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Tindakan kompaun itu dibuat dalam operasi yang dijalankan JPJ bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sekitar Pulau Pinang bermula 25 Julai hingga semalam (Khamis).

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mendapati masih terdapat segelintir pengusaha dan pemandu bas kilang serta pekerja kilang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 walaupun penguatkuasaan itu dijalankan sejak dua tahun lepas.

"Dalam operasi yang kami jalankan mulai 25 Julai lalu, mendapati saman paling banyak dikeluarkan ke atas pengangkutan awam ialah membabitkan van pekerja kilang yang membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan iaitu sebanyak 18 kompaun berjumlah RM51,500.

“Kompaun kedua tertinggi pula ialah gagal menyediakan peralatan mengimbas suhu iaitu sembilan kompaun bernilai RM58,000. Kami juga mendapati syarikat pemegang lesen dan pengusaha kenderaan pengangkutan awam itu turut gagal menyediakan kod QR MySejahtera pada kenderaan yang digunakan untuk membawa pekerja kilang atau syarikat," katanya.

Aedy Fadly berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Akta 342 Pematuhan SOP Covid-19 dan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dijalankan bersama JKNPP dan Polis Diraja Malaysia di Plaza Tol Sungai Dua, di sini malam Khamis.

Menurut beliau dalam operasi itu sebanyak 203 kenderaan diperiksa dan 98 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, memandu tanpa lesen, cermin gelap dan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi.

"JPJ akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan kenderaan awam dan perdagangan terutama bas dan lori tidak mengambil kesempatan mengabaikan aspek keselamatan ketika memandu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, JPJ menggunakan kaedah nasihat dan advokasi kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan kecil sepanjang Bulan Kebangsaan sebagai usaha menyampaikan kesedaran kepada mereka terhadap undang-undang lalu lintas yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil JPJ di seluruh negara itu bermula pada Khamis hingga 16 Septermber depan.

“Bagi kesalahan kecil yang kami rasa tidak wajar untuk dikompaun, maka nasihat akan diberikan supaya mereka tidak mengulangi lagi perbuatan terbabit," katanya. - Bernama