Permohonan UMNO batal saman SRC, dua lagi didengar 10 November

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 10 November untuk mendengar permohonan UMNO bagi membatalkan saman yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu atas dakwaan menerima wang berjumlah RM16 juta yang diseleweng daripada syarikat itu.

Pada Mei lalu, SRC International, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di bawah pengurusan baharunya telah memfailkan saman itu bersama dengan beberapa anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd.

Seorang peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership, yang mewakili ketiga-tiga plaintif berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon.

“Permohonan itu akan didengar pada jam 9 pagi menerusi Zoom,” katanya ketika dihubungi.

SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran menyaman parti itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

Plaintif mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang tersebut adalah milik SRC International dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana tersebut.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 billion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei lalu iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Artikel Berkaitan:

Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku. - Bernama