Jenazah Aming selamat dikebumikan di Tawau

Jenazah Aming dibawa ke tanah perkuburan Kampung Titingan, Tawau.
Jenazah Aming dibawa ke tanah perkuburan Kampung Titingan, Tawau.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jenazah Muhammad Aming Salleh Abdullah selamat dikebumikan pada jam 11 pagi di tanah perkuburan Kampung Titingan, Tawau.

Menurut ibunya, Santi Sabri, 33, semua urusan pengebumian anak bongsunya yang dikenali sebagai Aming telah disempurnakan oleh ahli keluarga terdekat.

"Syukur Alhamdulillah semuanya telah selesai dan dipermudahkan segala urusan kami.

"Sepanjang pengurusan jenazah dilakukan, dia 'pergi' dengan tenang. Ketika meninggal pun seperti tersenyum dan seperti orang tidur sahaja, lagi pun dia bukan sakit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Santi berkata, memang agak pelik memikirkan apabila anaknya yang berusia sembilan tahun itu tiba-tiba melaungkan azan dan solat pada jam 1 pagi sebelum meninggal dunia.

"Semua perkara yang dikatakannya aneh tetapi memang dia sering memberi nasihat kepada saya dan juga melalui video-videonya yang tular.

"Sehingga kini, saya masih tidak menyangka yang anak saya telah tiada, malah baru semalam (Rabu) dia membantu saya menjual di pasar Sin Onn," katanya.

Bagaimanapun, Santi berkata, dia reda dengan apa yang terjadi dan menganggapnya sebagai ujian mereka sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Aming yang terkenal dengan kepetahannya bercakap melalui video yang ditularkan di media sosial meninggal dunia akibat sesak nafas jam 1.30 pagi Khamis.

Berita duka itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pemergian adik Aming.

Video adik Aming yang meminta orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memakai pelitup muka pernah diulang siar Perdana Menteri ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum ini.

Dalam pada itu, Santi turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, seluruh rakyat Malaysia, ahli keluarga atau rakan yang mengenali adik Aming atas ucapan takziah kepada keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Aming pesan ibu tutup aurat sebelum meninggal