Abadikan Jalur Gemilang pada bumbung bot penambang

Ismail (kiri) bersama rakannya, Wan Muhammad Alif Muhaimin Othman (kanan) menghias bot penambang mereka dengan Jalur Gemilang. Gambar kecil : Ismail.
Ismail (kiri) bersama rakannya, Wan Muhammad Alif Muhaimin Othman (kanan) menghias bot penambang mereka dengan Jalur Gemilang. Gambar kecil : Ismail.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang warga emas berhasrat mengabadikan lukisan Jalur Gemilang pada bumbung bot penambang miliknya walaupun sambutan kemerdekaan tahun ini tidak semeriah dahulu.

Ismail Ali, 61, berkata, hasrat itu tidak melunturkan semangatnya untuk membawa kelainan pada hari penuh bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan dalam tempoh pandemik Covid-19 akan terus terpahat dalam ingatan malah dia berazam mengekalkan lukisan Jalur Gemilang atas bumbung bot yang menjadi ikon pengangkutan air di Terengganu itu.

"Sudah masuk dua tahun kita tidak dapat meraikan sambutan Hari Merdeka dengan meriah. Jadi, saya terfikir untuk menghias bot dengan lukisan itu atas semangat merdeka dan cintakan negara.

"Saya berniat untuk abadikan Jalur Gemilang pada bumbung bot ini untuk seumur hidup saya. Andai kata warnanya pudar akibat cuaca panas dan hujan, saya akan cat semula," katanya ketika ditemui di Jeti Bot Penambang Seberang Takir, di sini pada Khamis.

Berkongsi usahanya itu, Ismail memberitahu membelanjakan sebanyak RM200 bagi mengecat bumbung bot berukuran 2.7 meter lebar dan 7.3 meter panjang selain menghiaskan dengan Jalur Gemilang serta bendera negeri Terengganu.

Ismail yang telah 18 tahun membawa bot penambang berkata, usaha itu dilakukan bagi menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini agar tidak mudah mengalah dengan cabaran.

"Setakat ini, hiasan pada bot penambang hampir 95 peratus siap, cuma gambar bulan dan bintang belum siap dilukis.

Artikel Berkaitan:

"Kalau saya tumpu sepenuhnya untuk siapkan lukisan dan hias bot, ia hanya mengambil masa selama tiga hari," katanya yang mula menghias bot penambang miliknya sejak Isnin lalu.

Selain bot milik Ismail, terdapat sebuah lagi bot penambang yang turut dihiasi lukisan Jalur Gemilang manakala bot lain dihiasi bendera bagi menghayati semangat merdeka.

Sebelum negara diuji pandemik Covid-19, setiap tahun Sungai Terengganu dimeriahkan dengan perarakan bot penambang berhias Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan.

Penduduk yang tinggal berdekatan bandar raya ini boleh menyaksikan perarakan kira-kira 10 hingga 15 buah bot penambang berhias Jalur Gemilang menyusuri sungai sejauh lapan kilometer.

Lazimnya, bot berkenaan mula berarak dari Jeti Nelayan Seberang Takir menyusuri beberapa kawasan tarikan pelancongan antaranya Jambatan Angkat Terengganu, Pulau Warisan, Pasar Payang, Jambatan Sultan Mahmud, Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Pulau Sekati dan Pulau Duyong.

Suasana lebih meriah apabila peserta memakai baju Melayu lengkap bertanjak dan bersampin meniup alat tradisional, tetuang yang diperbuat daripada tanduk kerbau yang menjadi simbolik kegunaan nelayan dahulu kala.