Polis serbu banglo sindiket tipu jual barangan elektrik

Abdul Majid (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas dalam serbuan itu.
Abdul Majid (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas dalam serbuan itu.
A
A
A

MELAKA - Sebuah banglo dua tingkat di Klebang yang dijadikan lokasi sindiket penipuan pembelian dalam talian rentas negara diserbu Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, serbuan pada jam 2.30 petang itu menahan 10 individu termasuk dua warga China berusia19 hingga 36 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka menjalankan aktiviti penipuan dengan menjual barangan elektrik menggunakan platform e-dagang dengan nilai kerugian yang ditanggung mangsa mencecah RM150,000 hingga RM200,000.

"Ketika serbuan dilakukan mereka sedang melayari laman sesawang iklan barangan itu dipercayai untuk menipu mangsa.

"Siasatan awal juga mendapati sindiket menyasarkan pembeli dari luar negara dan pelanggan yang terpengaruh akan membuat bayaran tetapi barang yang dibeli tidak diterima," katanya pada sidang akhbar secara maya di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengakuan daripada suspek yang ditahan, mereka ditawarkan gaji RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan membuat tanda suka dan kongsi bagi menaikkan rating barangan elektrik yang diiklankan untuk mempengaruhi pelanggan.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan kes dipercayai digunakan dalam aktiviti itu termasuk dua set komputer, enam komputer riba dan lima telefon bimbit.

Turut dirampas katanya, satu pasport dan tiga buku nota mempunyai senarai nama pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua mereka direman selama satu hari di bawah Seksyen 117prosuder jenayah namun telah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Bagaimanapun, dua warga asing itu ditahan selama 14 hari untuk siasatan lanjut selain kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. ends#