Selamat berjuang atlet paralimpik Malaysia

Ismail Sabri melahirkan harapannya kepada Chef de Mission Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Sri Megat D Shahriman Zaharuddin pada satu sidang video.
Ismail Sabri melahirkan harapannya kepada Chef de Mission Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Sri Megat D Shahriman Zaharuddin pada satu sidang video.
A
A
A

TIRAI Sukan Paralimpik 2020 dibuka secara rasmi pada Selasa, 24 Ogos 2021 – 15 hari selepas berakhirnya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada temasya Paralimpik kali ini, kontinjen Malaysia dengan diketuai Chef de Mission (CDM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyandarkan harapan kepada 22 atlet 'luar biasa’ yang bakal bertanding dalam sembilan jenis sukan – olahraga, powerlifting, memanah, badminton, lumba basikal, renang, boccia, ping pong dan tenis kerusi roda.

Selepas kejayaan gemilang meraih tiga pingat emas dan satu gangsa pada edisi Rio 2016 – pencapaian terbaik kontinjen Malaysia dalam temasya Paralimpik sejak kali pertama mengambil bahagian pada edisi Heidelberg 1972, sasaran di bumi Tokyo kali ini adalah membawa pulang tiga emas.

Untuk rekod, sepanjang menyertai sembilan temasya Paralimpik sehingga edisi Rio 2016, kontinjen Malaysia secara keseluruhannya telah meraih 11 pingat – tiga emas, dua perak dan enam gangsa. Olahraga menjadi penyumbang terbesar dengan tiga emas dan tiga gangsa.

Pencapaian terbaik olahraga itu diikuti weightlifting dengan satu perak dan dua gangsa; memanah (satu perak) dan powerlifting (satu gangsa) bagi menjadikan empat jenis sukan sebagai penyumbang pingat.

Daripada 11 pingat yang dimenangi itu, satu gangsa diperoleh pada edisi Seoul 1988; satu perak, dua gangsa (Barcelona 1992); satu gangsa (Beijing 2008) dan satu perak, satu gangsa (London 2012).

Tiga emas yang diraih pada Olimpik Rio 2016 hadir menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20) dan dua lagi jaguh olahraga – Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100m T36 (celebral palsy) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20).

Satu kilauan gangsa pula disumbangkan Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20, sekali gus menjadi atlet para wanita kedua negara meraih pingat pada Sukan Paralimpik selepas Siow Lee Chan.

Artikel Berkaitan:

Selepas lima tahun berlalu, tiga wira di bumi Rio – Ziyad, Latif dan Ridzuan masih lagi menggalas harapan kontinjen Paralimpik Malaysia.

Malah, ketiga-tiga atlet itu tetap diletakkan sebagai antara prospek untuk sekali lagi menghadiahkan emas buat kontinjen Malaysia.

Misalnya, Ziyad – dia bukan sahaja tampil di Tokyo sebagai penyandang juara, atlet berusia 31 tahun itu juga berjaya memecahkan rekod baharu dunia dan Paralimpik – 16.84 meter ketika menyambar emas di Rio. Malah, 'Super Ziyad’ berazam memecahkan rekod dunia – 17.29m yang dicatatnya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Begitu juga Latif dan Ridzuan yang mempunyai potensi meraih pingat. Baik Latif mahupun Ridzuan, kedua-dua atlet itu ternyata berada dalam kelas tersendiri. Masing-masing mengecap kemasyhuran di pentas antarabangsa dengan gaya mereka yang tersendiri.

Tatkala Ridzuan muncul sebagai atlet para pertama negara meraih pingat emas Sukan Paralimpik, Latif pula pernah memperbaharui rekod dunia – 7.64m pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, sekali gus memadam catatan lamanya – 7.60m pada Sukan Paralimpik Rio 2016.

Ketika fokus terarah kepada kelibat trio olahraga itu dalam misi mereka mempertahankan pingat emas, tiga lagi atlet masing-masing menerusi acara powerlifting, badminton dan memanah turut menjadi sandaran dalam menjelmakan emas pada temasya Paralimpik kali ini.

Nama jaguh powerlifting, Bonnie Banyau, pemanah recurve, S Suresh dan pemain badminton, Cheah Liek Hou menjadi sebutan untuk menghadiahkan kilauan emas. Tidak seperti Ziyad, Latif dan Dik Wan, ketiga-tiga atlet itu belum pernah mengucup pingat Sukan Paralimpik – 'sesuatu’ yang mampu membangkitkan semangat mereka memburu kejayaan manis di Tokyo.

Bonnie tampil sebagai antara pencabar utama pingat selepas menjuarai Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu dan Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok Mei lalu.

Sama seperti Bonnie, Liek Hou dan Suresh turut berpeluang meletakkan nama mereka sebagai pemenang pingat emas dalam acara masing-masing. Tampil sebagai juara dunia enam kali, bukan sesuatu yang mustahil buat Liek Hou menyambar emas manakala Suresh, juara dunia 2019 juga dilihat berupaya menghasilkan 'panahan emas’.

* Azizul Fahmi Ahmad Zabidi ialah Editor Sukan Sinar Harian