Labuan beralih ke Fasa 4 PPN, Negeri Sembilan Fasa 2

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Labuan menjadi negeri dan wilayah pertama beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan kadar vaksinasi lengkap di wilayah itu telah mencapai imuniti berkelompok iaitu 92.4 peratus daripada populasi dewasa.

"Perkara ini disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian di Labuan menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut," katanya.

Menurutnya, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) Labuan kini telah menurun ke angka sifar berbanding 30 peratus pada Julai.

"Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan peralihan PPN di Labuan daripada Fasa 3 kepada Fasa 4," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, antara kemudahan yang dinikmati penduduk Labuan adalah semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 pekerja tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa.

"Seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus," katanya.

Ismail Sabri berkata, majlis sosial turut dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis atau dewan selain mengamalkan penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, retreat, reunion dan lain-lain dibenarkan," katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 2 selepas keadaan Covid-19 bertambah baik.

"Trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada penghujung Mei kepada kurang 40 peratus semalam (Isnin)," katanya.

Ujarnya, perkembangan tersebut selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus dalam kalangan populasi dewasa yang telah menerima dua dos.

"Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul

untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat," katanya.

Antara kemudahan yang dinikmati oleh penduduk Negeri Sembilan yang telah lengkap dua dos suntikan adalah dibenar rentas daerah dan pasangan suami isteri dibenar merentas negeri.

"Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa dengan syarat kedua-dua ibu bapa atau penjaga mestilah lengkap dua dos vaksin," katanya.

Menurutnya, aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh pihak berkuasa agama negeri.

"Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN)," katanya.

Tegas beliau, hanya pelanggan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin

dibenarkan untuk makan di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis

penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi.

"Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib telah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay," katanya.

Peralihan di Labuan dan Negeri Sembilan kata Ismail Sabri, berkuatkuasa Khamis ini.