Terkejut lihat kereta terhumban dalam sungai

Kereta mangsa terhumban dalam sungai.
Kereta mangsa terhumban dalam sungai.
A
A
A

KUALA KETIL - Sebuah kereta jenis Proton Persona dinaiki dua wanita berusia 30 tahun terhumban dari Jambatan Kuala Ketil-Parit Panjang pada ketinggian lebih 10 meter ke dalam Sungai Ketil, petang ini.

Kejadian jam 6.10 petang itu membabitkan dua mangsa dari Kampung Belida, mereka bagaimanapun diselamatkan pengguna jalan raya yang berada di situ.

Saksi, Normila Md Isa, 43, dari Kampung Padang Kulim berkata, kejadian berlaku apabila kereta berkenaan cuba memotong kereta di garisan berkembar atas jambatan tersebut.

"Waktu itu saya pandu kereta berseorangan dari arah Parit Panjang ke daerah Kulim untuk ambil anak manakala kereta mangsa dari arah Kuala Ketil.

"Tetapi sampai saja di atas jambatan kereta dipandu laju itu cuba memotong kereta lain di garisan berkembar dan hampir melanggar kereta saya," katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, kereta berkenaan dipercayai cuba mengelak kenderaannya sebelum terbabas ke dalam sungai.

"Apabila bertentangan dengan kereta saya, pemandu tersebut cuba mengelak dan masuk ke lorongnya semula.

"Tapi kenderaan itu terbabas melanggar penghadang sebelum terjatuh dalam sungai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Normila berkata, dia begitu terkejut serta panik melihat kejadian itu dan segera memberhentikan kereta untuk dapatkan bantuan.

"Alhamdulillah, ada penunggang motosikal bertindak segera menyelamatkan kedua-dua mangsa itu.

"Pada awalnya saya sangka ada bayi kerana lihat barang bayi hanyut dibawa arus. Tetapi Alhamdulillah tiada bayi dan dua mangsa selamat, mereka dibawa ke hospital untuk terima rawatan," katanya.