'Tawaran kerjasama PM perlu diterima dengan hati terbuka'

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tawaran dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melibatkan kerjasama anak muda perlu diterima dengan hati terbuka, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, beliau sedia bekerjasama dengan syarat ia dilakukan bagi tujuan memulihkan ekonomi negara dan menangani Covid-19.

“Saya tidak berniat untuk terima jawatan atau tidak. Orang sekarang ini tidak mahu dengar jawatan atau jawatankuasa apa tetapi apakah hasilnya untuk pulihkan ekonomi dan tangani Covid-19. Itu paling utama.

“Sebab itu, bila Perdana Menteri mencadangkan kita perlu libatkan lebih banyak anak muda, kita kena cari jalan tengah kerjasama dengan pembangkang, kita tak boleh tolak dan perlu terima dengan hati yang terbuka,” katanya ketika ditemubual dalam program Agenda Awani pada Isnin.

Syed Saddiq menambah, kesediaan beliau untuk bekerjasama itu dibuat dengan mengambil kira tawaran Perdana Menteri yang dilihat dilakukan ketika permulaan era pentadbirannya dan bukannya ketika waktu mendesak.

Artikel Berkaitan:


“Sebab itu dalam bab ini (tawaran Ismail Sabri), ada masa untuk rundingan. Ini supaya isu reformasi institusi dan Undi 18 dapat diketengahkan secepat mungkin.

“Ini adalah untuk semua. Untuk membolehkan kita ubah sistem di Malaysia agar sesiapa dalam kerajaan atau pembangkang dapat hak yang sama.

"Fokus kita adalah untuk membela rakyat, bukan bermain politik nombor semata-mata,” tambahnya.