Pulau Pinang harap bekalan vaksin dapat ditambah

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang bersedia memberikan kerjasama dalam menjayakan pendekatan bersepakat selamatkan 'Keluarga Malaysia' yang menjadi pegangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha membawa negara keluar daripada kemelut kesihatan serta ekonomi kini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sehubungan itu, pihaknya berharap beberapa isu dapat dipertimbangkan kerajaan Persekutuan dalam usaha mencapai hasrat berkenaan seperti menambahkan bekalan vaksin dan meningkatkan kemudahan perubatan di negeri ini.

Menurutnya, kekangan bekalan vaksin yang dihadapi Pulau Pinang kini perlu diatasi segera memandangkan peningkatan kes harian yang memerlukan perhatian.

"Malah, gangguan bekalan vaksin Pfizer–BioNTech pada minggu kedua bulan Ogos turut memberi impak kepada pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta janji temu secara keseluruhan.

"Sebagaimana dimohon oleh Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini dalam surat bertarikh 6 Ogos lalu kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung penambahan bekalan 500,000 dos vaksin, Pulau Pinang hanya memperoleh penambahan bekalan sebanyak 210,000 untuk bulan Ogos.

"Justeru, sudah tiba masanya supaya tumpuan turut diberikan kepada keperluan negeri-negeri di luar daripada program Greater Klang Valley (GKV) demi meningkatkan kadar vaksinasi semasa," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Sehingga Ahad, peratusan populasi dewasa di Pulau Pinang yang menerima suntikan dos pertama adalah sebanyak 77.5 peratus manakala lengkap dua dos pula sebanyak 45.4 peratus.

Kon Yeow berkata, kerajaan Persekutuan harus mempertingkatkan kemudahan dan kelengkapan perubatan pada kadar segera termasuk penubuhan pusat-pusat perubatan yang perlu diberikan perhatian khusus.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia termasuk keperluan logistik para pesakit dan juga personel perubatan, bekalan makan dan juga lain-lain berkaitan.

Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan Persekutuan mengemas kini, permudahkan serta selaraskan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai ketika ini.

"Khusus kepada kes-kes positif yang diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Bilik Gerakan yang mana ia mampu mencegah rantaian perebakan kes Covid-19 dengan lebih berkesan sekiranya prosedur sedia ada dikemas kini," katanya.