Eksperimen makan di kedai tanpa vaksin lengkap dikecam

Tangkap layar hantaran wanita berkenaan yang menerima pelbagai kecaman netizen.
Tangkap layar hantaran wanita berkenaan yang menerima pelbagai kecaman netizen.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan seorang wanita melakukan ‘eksperimen sosial’ bersama suaminya bagi melihat sama ada individu yang tidak memperoleh vaksin lengkap dapat memasuki premis sebagaimana kelonggaran yang diberi kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksin mendapat kecaman netizen.

Dalam satu tangkap layar yang tular di media sosial sejak Ahad, individu tersebut tanpa segan silu menceritakan kejayaannya bersama suami pergi ke beberapa tempat termasuk kedai makan dan kedai gunting rambut tanpa ada sebarang halangan oleh pekerja mahupun pemilik premis.

"Beberapa hari saya buat ‘social experiment’ selepas media beritahu yang dua dos vaksin boleh masuk sana sini, yang tiada boleh mereput di rumah.

Saja nak cuba semua kedai saya masuk, tiada satu premis pun yang semak saya dua dos ke tidak.

“Suami pun cuba tapi dihalau waktu masuk ke kedai gunting rambut namun akhirnya dia dapat masuk juga ke kedai lain.

Jadi lepas ni kita sokong kedai gunting rambut yang betul-betul cari duit sahaja,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Tambah wanita tersebut, dia dan keluarga turut mencuba nasib pergi bersarapan di sebuah kedai dan berbangga apabila tiada sebarang semakan dilakukan dan bebas menikmati hidangan tanpa sebarang masalah.

“Siapa kata tak cucuk dua dos tidak boleh 'dine in'?

Artikel Berkaitan:

Tanpa dua dos pun kami dah selamat 'dine in' pagi ni.

Tiada yang mustahil,” katanya.

Dalam pada itu, perkongsian wanita tersebut dikecam hebat oleh pengguna media sosial yang menyifatkan perbuatan tersebut seolah dan tidak menghormati undang-undang yang telah ditetapkan selain telah melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Kau memang selamat tapi kau akan bahaya orang lain.. 'Selfish'," kata seorang pengguna media sosial @elrizmi.

Bagi @FabionStarsz, dia menyifatkan golongan seperti ini yang akan menyusahkan petugas baris hadapan dalam memerangi Covid-19.

"Orang macam ini yang menyusahkan jururawat dah menyusahkan kita dengan kes tak turun-turun.

Rasa diri kebal," katanya.

Selain daripada kecaman, terdapat juga netizen berharap pihak berkuasa memandang serius hantaran tersebut dengan mengetatkan lagi undang-undang dan tidak berharap semata-mata kepada pemilik atau pekerja premis.

"Hal beginilah nak mintak kerajaan berfungsi. Kemas kini aplikasi MySejahtera supaya sekali 'scan' terus nampak dah lebih 14 hari selepas dos kedua.

"Nak harapkan pekedai pula buat kira-kira, depa nak duit.

Entah-entah pekedai pun antivaksin," kata pengguna media sosial yang menggunakan nama @tiniiiieieie.

Bagaimanapun, hantaran wanita tersebut sudah dipadamkan selepas menerima pelbagai kecaman.