Lelaki maut ketika mahu dapatkan vaksin

Mayat mangsa dibawa menaiki kenderaan pasukan polis untuk dihantar ke Hospital Keningau.
Mayat mangsa dibawa menaiki kenderaan pasukan polis untuk dihantar ke Hospital Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Seorang lelaki yang hadir untuk mendapatkan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) disahkan meninggal dunia ketika sedang berehat di luar kawasan Kompleks Sukan Keningau pada pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, lelaki warga asing berusia 57 tahun itu dikatakan berjalan kaki dari rumahnya sebelum tiba-tiba rebah di bawah pokok.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau menerima maklumat daripada anggota yang bertugas di PPV itu.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai perubatan dari Hospital Keningau tiba di lokasi untuk memberikan bantuan kecemasan.

"Pasukan perubatan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Keningau oleh pasukan Covid-19 polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Shahrudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa berjalan kaki dari kediaman di Kampung Pampang ke PPV Kompleks Sukan Keningau untuk hadir janji temu vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa telah duduk berehat di bawah pokok di luar kompleks dan tiba-tiba rebah.

Artikel Berkaitan:

"Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.