Perak FC belum mahu kibar bendera putih

Antara aksi menarik pertemuan Perak menentang Selangor di Stadium Perak, malam tadi. - Foto Perak FC
Antara aksi menarik pertemuan Perak menentang Selangor di Stadium Perak, malam tadi. - Foto Perak FC
A
A
A

PENOLONG jurulatih Perak FC Mohd Shahril Nizam Khalil belum mahu mengangkat ‘bendera putih’, sebaliknya menaruh harapan tinggi skuadnya mampu terus beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim depan.

Bekas pemain Perak era 90-an itu yakin pemainnya mampu kekal fokus dalam tiga lagi baki perlawanan musim ini biarpun perebutan untuk kekal dalam liga dilihat kian sengit lebih-lebih lagi Perak FC kini berada di zon penyingkiran bersama UiTM FC.

“The Bos Gaurus kini berada dalam keadaan genting kerana berada dalam kelompok dua terbawah liga dan ia memerlukan aksi 'luar biasa' daripada pemain untuk pasukan ini terus kekal bersaing dalam Liga Super pada tahun hadapan,”

“Walaupun agak sukar tetapi saya percaya kami masih boleh mencuba sehingga ke akhirnya,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan antara Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak, malam tadi.

Mengulas kekalahan pasukannya yang tumpas 0-3 kepada Selangor FC dalam perlawanan itu, beliau mengakui The Bos Gaurus tidak bernasib baik, namun berjaya memberi tentangan sengit kepada lawan terutama pada separuh masa pertama.

“Pada 40 minit pertama, kita lihat corak permainan (Perak FC) agak memberangsangkan. Pemain berjaya menyerap serangan dan dapat melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan, namun tak membuahkan hasil,” katanya.

Beliau mengakui tiga gol yang membolosi gawang Perak FC berpunca daripada kelalaian pemain untuk mengunci pergerakan barisan serangan Selangor FC diketuai bintang import Selangor dari Nigeria, Idefayo Olisegun.

Dalam perlawanan itu, tiga gol The Red Giants dihasilkan oleh tonggak import dari Switzerland, Oliver Buff di minit ke-43, manakala dua lagi gol dijaringkan Ifedayo pada minit ke-45 dan 59. - Bernama

Artikel Berkaitan: