X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Polis cari pemandu kereta sebabkan tiga maut nahas

Laporan Sinar Harian pada Sabtu
A
A

MANJUNG - Polis menahan seorang penumpang kereta yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tiga nyawa di KM4 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 24 tahun yang ditahan itu merupakan penumpang hadapan kereta Proton Preve yang dipercayai terbabas melanggar enam motosikal dari arah bertentangan.

Menurutnya, suspek ditahan selepas ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine.

"Dalam kejadian kemalangan itu, suspek turut cedera pada bahagian kepala, tangan, kaki dan muka dirawat di hospital sebelum ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas keluar dari hospital.

"Pemandu kereta berkenaan pula melarikan diri dari tempat kejadian. Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dan suspek tersebut untuk tampil membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut nahas lima kenderaan di Sitiawan

Pada Sabtu, media melaporkan tiga individu iaitu dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut ketika kemalangan tersebut.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Nur Hisham Hassan, 29, Hasrandy Bahrum, 27, dan Mohd Suhail Zainal, 22. Ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Nor Omar berkata, punca kemalangan tersebut dipercayai disebabkan kereta Proton Preve yang membawa tiga individu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh enam motosikal.

Menurutnya, empat penunggang motosikal turut mengalami kecederaan yang mana tiga daripadanya masih dirawat di hospital manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar.

Beliau berkata, kejadian tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693 bagi membantu siasatan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!