Bukan tempoh untuk PM bulan madu

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan. (Gambar kecil: Shaiful Hazizy Zainol Abidin )
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan. (Gambar kecil: Shaiful Hazizy Zainol Abidin )
A
A
A

ALOR SETAR - Pelantikan Perdana Menteri Kesembilan bukan tempoh untuk berbulan madu sebaliknya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus bingkas merangka pelan untuk keluar daripada pelbagai pelbagai krisis susulan negara perlu dipulihkan segera.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, selain memulihkan sektor ekonomi dan tumpuan memerangi pandemik Covid-19, usaha juga perlu dibuat untuk mengubah persepsi netizen dan mengikis stigma kerajaan gagal yang diwarisi beliau.

Menurutnya, sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia masih belum cukup untuk mengubah situasi dan meredakan kemarahan rakyat akibat sentimen yang gagal ditangani sebelum ini.

“Berikutan itu, Perdana Menteri memerlukan barisan kabinet yang mantap, fokus dan dilihat mampu membawa kerajaan keluar daripada krisis kesihatan, sosial dan ekonomi.

"Wajah-wajah yang pernah gagal tidak harus kembali disenaraikan, beliau perlukan pemimpin yang kuat dan meyakinkan untuk mengepalai kluster keselamatan, kesihatan, pendidikan, vaksinasi dan hubungan antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Shaiful Hazizy berkata, saiz kabinet juga perlu lebih mengecil dan fokus dengan mengambil kira perumpamaan ‘kabinet perang’.

“Banyak kecacatan pada kabinet lalu, hakikat ini perlu diterima, ia bukan lagi persepsi. Banyak penambahbaikan perlu dibuat selain mengambil risiko walaupun pahit.

"Pada masa sama, semangat kerajaan bersama atau perpaduan perlu wujud untuk mendapatkan sokongan semua pihak, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu diwujudkan ‘kerajaan untuk semua’ dalam memerangi pandemik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Shaiful Hazizy berpandangan adalah tidak praktikal untuk dibentuk sebuah kerajaan bersama dalam membentuk keanggotaan kabinet, memadai sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi bagi memupuk semangat ‘bipartisan’.

“Konsep itu sudah sedia wujud di kebanyakan negara, namun kita harus akui Malaysia sememangnya ketinggalan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ismail Sabri juga harus kembali membina kepercayaan ahli-ahli parti yang kecewa dengan tindakan beliau membawa 23 ahli Parlimen yang buat pertama kalinya menyanggah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Beliau perlu kembali kukuhkan parti, mungkin tidak seperti dahulu, setidaknya beri peranan kepada pemimpin di bawah membantu rakyat.

"Tanggungjawab beliau kepada parti amat besar, di sebalik kegembiraan UMNO kembali menerajui kerajaan, kita terdedah kepada kemarahan rakyat apabila dilihat gagal membawa negara keluar daripada pandemik. Sebelum ini boleh beri alasan UMNO hanya sebahagian daripada kerajaan, bukan tunjang, sekarang tidak lagi. Tindakan dan percakapan beliau akan beri kesan langsung kepada parti,” katanya.

Shaiful Hazizy turut berharap agar Ismail Sabri mengamalkan konsep rundingan dengan betul, tanpa kompromi terhadap perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

“Saya yakin Perikatan Nasional (PN) boleh dibawa berbincang dan boleh menjadi rakan politik membina. Saya juga percaya beliau tiada masalah untuk berunding dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Pihaknya yakin Naib Presiden UMNO itu mampu memimpin negara dan kembali memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun berdepan pelbagai cabaran.