466,216 mohon bakul prihatin negara

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima sebanyak 466,216 permohonan Bakul Prihatin Negara setakat semalam. - Foto fail Bernama
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima sebanyak 466,216 permohonan Bakul Prihatin Negara setakat semalam. - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima sebanyak 466,216 permohonan Bakul Prihatin Negara setakat semalam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, sebanyak 110,174 Bakul Prihatin Negara telah diagihkan yang dapat memanfaatkan kira-kira 388,801 isi rumah, di seluruh negara.

“Pandemik Covid-19 memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat negara ini. Saya tahu masih ramai di luar sana yang memerlukan bantuan.

“Alhamdulillah, Program Bakul Prihatin Negara terus giat dilaksanakan, walau apa jua keadaan demi membantu rakyat dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya pada Sabtu.

Mohd Zuki turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat, yang menyokong usaha kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat memerlukan.

“Semoga usaha murni ini akan memberi dorongan kepada sektor swasta lain, untuk turut bersama-sama memberikan bantuan,” katanya.

Pagi tadi, beliau bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Maziah Che Yusoff dan JKM, turun padang menziarah dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada lima keluarga yang memerlukan di sekitar Putrajaya.

Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan pada 15 Julai, merupakan cetusan idea mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai tindak balas proaktif kerajaan terhadap senario dihadapi rakyat pada masa ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: