Bicara Merdeka sempena Hari Kebangsaan

Shahnoor Zahurin menunjukkan poster Pertandingan Bicara Merdeka Malaysia Prihatin sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang kini sudah mempunyai 70 penyertaan.
Shahnoor Zahurin menunjukkan poster Pertandingan Bicara Merdeka Malaysia Prihatin sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang kini sudah mempunyai 70 penyertaan.
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Perak dan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Kangsar menganjurkan Pertandingan Bicara Merdeka Malaysia Prihatin sempena Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza, Datin Shahnoor Zahurin Mohd Haslan berkata, penganjuran julung kali itu diadakan bertujuan membangkitkan semangat patrotisme menerusi pengucapan awam.

Menurutnya, penyertaan pertandingan berkenaan dibuka kepada semua ahli Srikandi Bersatu di seluruh negara berusia 18 tahun ke atas bagi mencungkil bakat dalam pengucapan awam dalam kalangan pemimpin wanita di dalam parti itu.

"Objektif penganjuran program ini adalah untuk melahirkan sikap jati diri kebangsaan, penghormatan kepada pemimpin dan mendaulatkan kedudukan raja-raja Melayu dalam kalangan ahli Srikandi.

"Jumlah peserta tiada had. Setakat ini kita dah terima kira-kira 70 penyertaan dari seluruh negara antaranya Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Terengganu, Perak, Selangor dan Labuan," katanya kepada Sinar Harian pada sidang akhbar pada Jumaat.

Shahnoor Zahurin berkata, semua penyertaan akan melalui proses saringan sebelum lapan yang terbaik dipilih ke peringkat akhir pada 30 Ogos ini.

Menurutnya, peserta yang telah mendaftar mesti mengemukakan rakaman video Bicara Merdeka masing-masing sebelum 25 Ogos dengan durasi 7 hingga 10 minit.

Jelasnya, pengisian dalam ucapan peserta perlu mengandungi elemen seperti kecintaan kepada agama, bangsa dan tanah air, memperkukuhkan kedaulatan raja-raja Melayu serta mengimbau sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

"Paling penting, setiap persembahan tidak boleh memaparkan atau menyentuh sensitiviti kaum, bangsa serta tiada sebarang unsur hasutan.

"Dari segi pakaian pula haruslah bersesuaian dengan tema iaitu kemerdekaan dan bercirikan kenegaraan," katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan hadiah utama bagi johan akan menerima wang tunai RM1,000 diikuti tempat kedua RM700 dan ketiga RM500 manakala lima hadiah saguhati akan menerima RM150 setiap seorang selain sijil penyertaan.

Menurutnya, pertandingan itu akan dilaksanakan setiap tahun jika mendapat sambutan menggalakkan dan sokongan daripada semua pihak.