MBIP dapatkan maklumat kemudahan negeri Fasa 1 PPN

Mohd Hafiz (kanan) meninjau Program Imunisasi Outreach Vaksinasi Covid-19 di Dewanraya Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri pada Jumaat.
Mohd Hafiz (kanan) meninjau Program Imunisasi Outreach Vaksinasi Covid-19 di Dewanraya Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri pada Jumaat.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kemudahan tambahan melibatkan beberapa sektor sosial dan ekonomi bagi individu lengkap vaksinasi Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd Hafiz Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan semua pihak terutama peniaga dapat melakukan persediaan awal.

"Semalam (Khamis) diumumkan dan hari ini dikuatkuasakan, jadi saya rasa akan ambil masa untuk peniaga bersedia kerana mungkin ada yang belum faham mengenai kelonggaran yang diberi.

"Jadi kita akan dapatkan maklumat dan merujuk kerajaan negeri berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi Outreach Vaksinasi Covid-19 di Dewanraya Kampung Sungai Melayu di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi buat individu yang lengkap vaksin.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 dengan syarat telah mencapai 50 peratus kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad memaklumkan setakat 18 Ogos, Johor mencatatkan kadar vaksinasi populasi dewasa sebanyak 63.6 peratus untuk satu dos manakala 32.1 peratus bagi dua dos.

Sementara itu, Mohd Hafiz memaklumkan seramai 2,500 penduduk dari lima perkampungan sekitar bandar raya itu bakal menerima suntikan vaksinasi mereka dalam masa terdekat menerusi Program Imunisasi Outreach Vaksinasi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Program ini akan turut menggunakan kemudahan Pusat Pemberian Vaksin bergerak khususnya bagi kawasan pedalaman termasuk perkampungan orang asli.

"Kita sudah aturkan jadual dan setakat ini dijangka program ini akan memanfaatkan seramai 2,500 penduduk dari lima perkampungan sekitar Iskandar Puteri," ujarnya.

Program vaksinasi yang berlangsung di Kampung Sungai Melayu pada Jumaat melibatkan seramai 570 penerima vaksin.