Program empowerNCER Akademik perintis kejayaan

Sesi Bual Mesra Pelajar bersama NCIA, Yayasan Petronas, JPN Kedah & Perlis dan iCEPS UiTM.
Sesi Bual Mesra Pelajar bersama NCIA, Yayasan Petronas, JPN Kedah & Perlis dan iCEPS UiTM.
A
A
A

SHAH ALAM - Program empowerNCER Akademik, sebuah program modal insan yang melibatkan seramai 1,200 pelajar tingkatan 5 dari Kedah dan Perlis telah menjayakan Majlis Apresiasi bersama pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, baru-baru ini.

Program di bawah inisiatif pembangunan modal insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu dilaksanakan oleh Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menerusi dua pakej, di lapan kawasan.

Pakej pertama melibat 450 pelajar di seluruh negeri Perlis, Langkawi dan Kota Setar di negeri Kedah, manakala 750 pelajar di daerah Pendang, Sik, Baling, Kuala Muda dan Yan bagi pakej kedua membabitkan kerjasama antara NCIA dan Yayasan Petronas.

Majlis dihadiri Ketua Bahagian Modal Insan NCIA, Datin Shahdee Ahmad; Ketua Bahagian Operasi Yayasan Petronas, Tengku Noraida Tengku Mahmood;,Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad dan Pegawai Unit Sains Sosial, Sektor Pembelajaran JPN Perlis, Mahayudin Mohamad Nur.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Institut Pendidikan Lanjutan & Pengajian Profesional (iCEPS) UiTM, Prof. Dr Azizul Halim Yahya selaku pelaksana projek.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Nelly Francis Shariah berkata, penglibatan mereka bertujuan membantu pelajar bersedia menghadapi peperiksaan SPM melalui pengisian program yang tertumpu kepada pendidikan intensif dan bersepadu.

Program julung kali itu berlangsung secara maya di mana peserta dibekalkan dengan modul, unit peranti On the Go (OTG), pemacu kilat mengandungi video interaktif dan infografik serta nota bagi menambah baik keberkesanan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) termasuk kelas tuisyen dan bengkel.

Program empowerNCER Akademik direka secara komprehensif untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM kini telah memasuki fasa kedua.

Artikel Berkaitan:

Modul empowerNCER Akademik 2021 yang selaras dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), digarap oleh guru-guru cemerlang dan diterima baik oleh pihak JPN.

Program yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia itu berjaya membantu pelajar keluarga B40 meraih keputusan cemerlang.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, program ini memberikan impak positif kepada pelajar dan berharap peserta bagi program 2021 akan meneruskan momentum.