Armada sokong syarat ditetapkan Muhyiddin kepada calon PM baharu

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong penuh syarat ditetapkan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada calon Perdana Menteri baharu.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sayap pemuda Bersatu itu sentiasa setia dan menghormati pendirian Muhyiddin untuk memberikan laluan bagi proses pemilihan Perdana Menteri baharu.

“Atas semangat penyatuan ummah dan demi memastikan kelangsungan Pelan Pemulihan Negara yang telah dirangka kerajaan Perikatan Nasional (PN), Armada akan menyokong apa jua ketetapan yang dibuat oleh Muhyiddin bersama-sama pucuk pimpinan Bersatu.

“Armada Malaysia juga tegas dan konsisten dengan pendirian Muhyiddin selaku Pengerusi PN dalam menjunjung Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan bahawa Perdana Menteri kesembilan haruslah menepati lunas undang-undang negara.

“Ia turut merangkumi pemilihan barisan Jemaah Menteri yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengumumkan bahawa kesemua 50 ahli Parlimen PN menyokong pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan secara bersyarat.

Perdana Menteri sementara itu berkata, kerajaan baharu yang mendapat sokongan partinya itu perlu meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Nama Perdana Menteri baharu dijangka akan diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang Jumaat iaitu selepas Seri Paduka Baginda mengadakan pertemuan khas bersama Raja-raja Melayu.

Artikel Berkaitan: