Sektor pelancongan di Melaka tidak terjejas

Muhammad Jailani
Muhammad Jailani
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka terus menerima kehadiran pelancong domestik mahupun antarabangsa biarpun cuaca panas sedang melanda negara ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan terutama dalam kalangan pemain industri termasuk perhotelan.

Menurutnya, kehadiran pelancong tetap memberangsangkan terutama dari Barat dan Asia seperti Jepun dan China yang merekodkan jumlah pelancong yang tinggi di negeri ini.

Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri berterusan mempromosikan produk pelancongan negeri bertepatan Tahun Melawat Melaka 2019 sekali gus mampu mencapai sasaran kehadiran 20juta pelancong pada tahun ini.

"Setakat ini memang tak ada yang terjejas, cuma kawasan pelancongan yang terbuka mencatatkan sedikit penurunan namun tidaklah sehingga menjejaskan industri ini.

"Malah dalam keadaan cuaca panas ini juga saya menerima kertas kerja dari pihak lain untuk mengadakan aktiviti air di Pantai Klebang walaupun cuaca panas," katanya.

Muhammad Jailani berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelantikan dan Ikrar Bebas Rasuah Sidang di Dewan Bendahara di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Muhammad Jailani yang juga Adun Rembia berkata, di sebalik situasi itu sebenarnya juga memberi manfaat kepada golongan lain terutama peniaga minuman dan makanan secara tidak langsung dapat merancakkan sektor pelancongan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bila cuaca panas, saya dapati pendapatan jualan golongan peniaga tersebut meningkat, berdasarkan jualan mereka yang rata-ratanya habis, jadi cuaca panas yang kita anggap musibah sebaliknya turut memberi manfaat kepada orang lain," katanya.