Kerajaan sementara tidak boleh buat keputusan beri implikasi kewangan

Tan Sri Mohd Zuki Ali
Tan Sri Mohd Zuki Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sementara tidak boleh membuat sebarang keputusan dan dasar yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk.

Bagaimanapun, jelas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.

"Merujuk kepada Jabatan Peguam Negara, perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel, kerajaan sementara hanya berfungsi untuk mentadbir negara sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

"Dalam hal ini, kerajaan sementara boleh mengambil tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan.

"Kerajaan sementara boleh mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan, meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada yang mana peruntukan kewangan baginya telah disediakan seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pelan Pemulihan Negara dan juga bantuan lain sebelum tarikh Perdana Menteri meletakkan jawatan," katanya.

Mohd Zuki berkata, kerajaan sementara juga boleh membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah diluluskan oleh kerajaan atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh Parlimen seperti belanjawan tahun semasa.

"Selain itu kerajaan sementara boleh mengadakan dan menghadiri majlis ramai yang dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara selepas Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatannya pada Isnin.

Perdana Menteri sementara itu bagi membolehkan kerajaan berfungsi seperti sediakala sementara Perdana Menteri baharu dilantik.